Lelaki Mengamuk Pecahkan Cermin Kereta Bapa Ditahan di Tawau

Lelaki Mengamuk Pecahkan Cermin Kereta Bapa Ditahan di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai mengamuk dan memecahkan cermin kereta milik bapanya dalam kejadian di Kampung Durian, Merotai Besar, di sini pada pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.17 pagi daripada kakak suspek.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 7 pagi apabila suspek berusia 28 tahun bertindak agresif tanpa sebab sebelum merosakkan kenderaan milik bapanya yang diletakkan di kawasan rumah mereka.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak agresif dan telah memecahkan cermin kereta milik bapanya yang diparkir di hadapan rumah di Kampung Durian, Merotai Besar,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, pengadu turut memaklumkan bahawa suspek sering mengamuk dan merosakkan barangan di dalam rumah sekiranya permintaannya tidak ditunaikan, selain kerap meminta wang dan meminjam motosikal milik ahli keluarga.

Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai digerakkan ke lokasi sebelum berjaya menahan suspek kira-kira jam 11.20 pagi hari yang sama di hadapan rumahnya di Merotai Besar.

ACP Jasmin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan merosakkan harta benda.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang bertindak ganas atau melakukan khianat walaupun melibatkan ahli keluarga sendiri,” tegasnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak di luar kawalan ketika berdepan tekanan atau konflik, sebaliknya mendapatkan bantuan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.