PUTRAJAYA, SELANGOR – Suspek lelaki berusia 25 tahun yang bertindak merempuh seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada sekatan jalan raya di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini memiliki lapan rekod kes jenayah dan dadah.
Dalam video lima saat yang tular semalam, penunggang Yamaha Y125ZR terbabit dipercayai cuba melarikan diri di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban Port Dickson pada kira-kira 11 pagi namun merempuh seorang anggota JPJ sehingga menyebabkan mangsa terpelanting dan kepalanya terhantuk.
Menurut JPJ dalam satu kenyataan, lelaki itu dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana lesen kenderaan tamat tempoh pada 18 Julai 2012, tiada perlindungan insurans dan tiada lesen memandu kompeten manakala motosikalnya disita.
“Satu laporan polis telah dilakukan dan penunggang motosikal tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” menurut kenyataan itu.
Anggota JPJ terlibat telah mendapat rawatan di Hospital Port Dickson dan berdasarkan keputusan imbasan sinar X, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius serta dibenarkan pulang oleh pihak hospital.
“JPJ telah melancarkan Operasi Khas Motosikal Tahun 2023 selama sebulan dari 1 hingga 30 September di seluruh negara dengan objektif memperkukuh pembudayaan pematuhan undang-undang serta memupuk rasa bersalah apabila melanggar peraturan keselamatan jalan raya di bawah APJ 1987.
“Justeru JPJ menasihati orang ramai supaya tidak melarikan diri atau bertindak di luar jangka ketika berhadapan dengan operasi SJR yang dilakukan oleh JPJ.
“JPJ juga menyeru orang awam untuk melaporkan kesalahan lalu lintas secara terus atau masa nyata menggunakan Aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau e-mel kepada aduantrafik@jpj.gov.my beserta dengan butiran lengkap aduan,” katanya.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintenden Aidi Sham Mohamed pula berkata suspek turut ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Port Dickson esok untuk proses tahanan reman,” katanya dalam satu kenyataan.