TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing kurang 24 jam selepas disyaki terlibat dalam kes ugutan untuk menyebarkan video dan gambar peribadi seorang wanita di Kampung Merotai Besar, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu diberkas sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai kira-kira jam 5.45 petang di kawasan tepi Gerai Kampung Merotai Besar.
Menurutnya, tangkapan dibuat susulan laporan seorang wanita berusia 20-an yang mendakwa menerima ugutan daripada bekas kenalannya melalui beberapa nombor telefon sekitar jam 10.35 pagi, dengan ancaman untuk memviralkan video dan gambar peribadinya sekiranya mangsa gagal menyerahkan sejumlah wang.
“Suspek juga dipercayai kerap menghubungi mangsa pada waktu malam dengan tujuan mengganggu serta menjejaskan keharmonian rumah tangga mangsa. Disebabkan bimbang bahan peribadi itu disebarkan, mangsa mendakwa terpaksa menyerahkan sejumlah wang,” katanya dalam kenyataan.
Hasil pemeriksaan lanjut, polis turut menemui sebilah pisau sepanjang kira-kira 16 sentimeter serta dua unit telefon bimbit di dalam sebuah beg sandang yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Jasmin menegaskan pihak polis memandang serius sebarang bentuk ugutan dan pemerasan, khususnya yang melibatkan ancaman penyebaran bahan peribadi, dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.






