Lima Pemilik Syarikat Didakwa Kemuka Dokumen Palsu Tuntut Insentif PERKESO

Lima Pemilik Syarikat Didakwa Kemuka Dokumen Palsu Tuntut Insentif PERKESO

0
SHARE

KOTA KINABALU: Lima pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, pada Khamis, atas pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi maklumat palsu bagi membuat tuntutan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama kerana didakwa mengemukakan borang pengesahan pekerja yang mengandungi butiran palsu bagi memperdayakan PERKESO dalam permohonan tuntutan insentif Program Daya Kerjaya 2.0.

Tertuduh pertama, Arzeanti Binti Jafar, 40, pemilik Tasek Emas Enterprise, berdepan satu pertuduhan membabitkan permohonan bertarikh 6 Ogos 2024 di Tuaran.

Foo Fong Kent, 32, pemilik Infinity Profit Enterprise, pula didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan permohonan bertarikh 30 Mei, 27 September dan 9 Oktober 2024 di Kota Kinabalu.

Seorang lagi tertuduh, Pausia Binti Abu, 50, pemilik Hajah Yanong Enterprise, berdepan dua pertuduhan berkaitan permohonan yang dibuat pada 15 dan 18 Mac 2024 di Kota Kinabalu.

Turut didakwa ialah Mohd Azhar Bin Ramali, 40, pemilik Cyber Vision Enterprise, yang menghadapi dua pertuduhan melibatkan permohonan bertarikh 7 Jun dan 14 Ogos 2024.

Sementara itu, Nur Farhanah Binti Jamil, 38, pemilik Afijay Bersatu, berdepan satu pertuduhan berkaitan permohonan bertarikh 19 Ogos 2024.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Khas Rasuah, YA Tuan Andi Razalijaya.

Mahkamah kemudian membenarkan mereka diikat jamin antara RM8,000 hingga RM10,000 dengan deposit yang ditetapkan, masing-masing bersama dua penjamin tempatan.

Mereka turut diperintahkan melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 14 September 2026 sebagai tarikh pengurusan kes, manakala perbicaraan akan dijalankan secara berasingan mengikut jadual yang telah ditetapkan pada Oktober ini.