Lokasi Tragedi Dua Beranak di Jalan Sepanggar Tidak Sesuai Untuk Pemunggahan Kontena...

Lokasi Tragedi Dua Beranak di Jalan Sepanggar Tidak Sesuai Untuk Pemunggahan Kontena – JPJ

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah mendapati kawasan jalan raya berhampiran Pelabuhan Sepanggar yang menjadi lokasi kemalangan maut membabitkan dua beranak, Ahad lalu, tidak sesuai digunakan untuk aktiviti pemunggahan atau pemindahan kontena berikutan keadaan jalan yang sempit.

Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, hasil tinjauan di lokasi kejadian mendapati aktiviti berkenaan sepatutnya dilaksanakan dalam kawasan pelabuhan atau depot kontena yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, pemeriksaan turut mendapati sebilangan pengusaha meletakkan kontena di bahu jalan termasuk di atas longkang, sekali gus mengancam keselamatan pengguna serta menyebabkan kerosakan infrastruktur jalan raya.

“Kawasan jalan raya di lokasi kejadian tidak sesuai dijadikan kawasan pemunggahan atau pemindahan kontena kerana keadaan jalan yang sempit.

“Aktiviti berkenaan sepatutnya dilakukan di dalam kawasan pelabuhan atau depot kontena yang diluluskan PBT bagi mengelakkan risiko kepada pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, kemalangan pada 18 Oktober lalu mengorbankan dua nyawa selepas muatan kontena terbalik ketika proses pemuatan ke atas sebuah semi-treler sebelum menghempap kenderaan Toyota Avanza yang dinaiki mangsa bersama anaknya.

Mohd Harris berkata, susulan kejadian itu, JPJ Sabah menjalankan operasi khas pada Isnin yang menyaksikan 65 kenderaan diambil tindakan dan 109 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, kesalahan tertinggi membabitkan Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan perbuatan memberhentikan atau membenarkan kenderaan berhenti dalam keadaan yang boleh membahayakan, menghalang atau menyusahkan pengguna jalan raya lain.

Beliau berkata, statistik penguatkuasaan di sekitar Jalan Sepanggar turut menunjukkan peningkatan jumlah notis daripada 397 sepanjang 2025 kepada 486 setakat tahun ini.

Sehubungan itu, katanya, JPJ Sabah akan membangkitkan kepada pihak berwajib keperluan menyediakan depot simpanan kontena, ruang menunggu kenderaan perdagangan serta kawasan pemunggahan khusus bagi memastikan aktiviti berkenaan dilaksanakan dengan selamat.

“Cadangan pemasangan bonggol jalan, pembaikan jalan raya, peningkatan pencahayaan dan pelebaran bahu jalan sepanjang laluan ke Pelabuhan Sepanggar juga perlu dipertimbangkan bagi mengurangkan risiko kemalangan, khususnya pada waktu malam,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Harris turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap tragedi berkenaan menjadi peringatan kepada semua pihak supaya sentiasa mengutamakan keselamatan serta mematuhi peraturan jalan raya.

Beliau menegaskan, JPJ Sabah akan meneruskan penguatkuasaan bagi menangani kesalahan pemberhentian dan parkir kenderaan yang boleh menjejaskan keselamatan serta kelancaran lalu lintas.