Lombong Klinker Dan Simen Terbesar Sabah Dijangka Mula Beroperasi Sebelum Akhir 2024

Lombong Klinker Dan Simen Terbesar Sabah Dijangka Mula Beroperasi Sebelum Akhir 2024

0
SHARE
Cement
Lakaran kilang klinker dan simen terbesar Sabah yang bakal dibina di Tongod mampu menghasilkan 5,000 tan simen sehari ( Sumber Foto: Ihsan Borneo Cement Sabah Sdn Bhd )

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah yang menerima pelaburan RM2 bilion untuk membangunkan lombong klinker dan simen terbesar di negeri itu dijangka mula beroperasi sebelum akhir tahun ini.

Pengurus Besar, Borneo Cement Sabah Sdn Bhd (BCS), Micheal Kinsuan berkata, pihaknya kini hanya menunggu proses akhir kajian Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Kami akan memulakan kerja fasa pertama sebaik mendapat ‘lampu hijau’ daripada JAS.

“Buat masa ini kita sedang menyediakan kerjasama semua jabatan terlibat sebagai prosedur akhir sebelum mendapat perakuan daripada JAS,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Bagaimanapun, katanya pembinaan jalan berturap sepanjang 26 kilometer akan dijalankan terlebih dahulu dari Kampung Matiku, Nabawan ke tapak kilang BCS.

Jelas Micheal, bekalan elektrik dan air akan dibina serentak dengan menara telekomunikasi sepanjang 60 kilometer itu yang turut dinikmati penduduk sekitar.

Menurut Micheal, kerajaan negeri telah mewartakan 700 ekar untuk tapak kilang di Bukit Sinobang, Kampung Kawayoi 130 kilometer dari Pekan Tongod.

Kawasan seluas 500 ekar diperuntukkan untuk tapak lombong klinker, manakala 200 ekar lagi untuk tapak kilang, pembungkusan, pejabat operasi dan kurte pekerja.

Jelasnya, seramai 1,000 pekerja diperlukan yang mana 20 peratus daripadanya adalah pekerja mahir, manakala selebihnya pekerja separuh mahir dan individu berkelayakan dalam bidang berkaitan.

Micheal berkata, terdapat enam bahan utama yang diadun untuk membuat klinker sebelum diproses menjadi simen.

Kesemua bahan galian itu, katanya, mempunyai kepadatan di kawasan cadangan lombong. Antaranya ialah batu kapur, arang batu, tanah liat, batu pasir dan syal.

Hanya satu bahan iaitu gipsum yang perlu diimport dari Indonesia, tetapi hanya 10 peratus daripada campuran itu diperlukan untuk menghasilkan simen.

Jelas Micheal, operasi kilang ini akan dilengkapi mesin automatik dan ia akan dikawal secara digital melalui komputer.

Penghantar penggelek batu akan digunakan sepanjang 300 meter dari lombong ke kilang pemprosesan simen.

Mengulas lanjut mengenai projek itu, Micheal berkata, BCS turut membina klinik kesihatan di Kampung Kawayoi selain menaik taraf bangunan surau dan gereja di kawasan berhampiran.

Projek yang dicadangkan itu dilaksanakan syarikat tempatan, Setia Alam Sdn Bhd dengan kerjasama Sedco menerusi pelaburan syarikat yang berpangkalan di China, Sinoma Bhd.