KOTA KINABALU, SABAH – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah bercadang menubuhkan tapak lokasi e-hailing khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bagi menjamin mata pencarian pemandu teksi.
Pengerusinya, Datuk Chin Kim Hiung berkata candangan tersebut telah beliau sampaikan kepada pihak pengurusan KKIA melalui surat pada 23 Disember 2021 lalu.
“Cadangan ini bertujuan untuk mengelakkan kesesakan serta mengurangkan masa menunggu di KKIA…
“Sekiranya dilaksanakan, ianya akan menyediakan tapak menunggu bagi kenderaan e-hailing untuk menghantar dan mengambil penumpang yang telah membuat tempahan menerusi aplikasi masing-masing…
“Pengurusan kenderaan e-hailing akan lebih teratur dan memudahkan penumpang serta tidak mengganggu aliran kenderaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini yang membalas kepada dakwaan yang telah dikeluarkan oleh Persatuan Limousin dan Teksi KKIA di akhbar dua hari yang lalu.
Selain itu, Chin berkata, pada 10 Disember 2021, pihaknya juga telah bertemu dengan wakil-wakil syarikat pengendali e-hailing yang dipengerusikan oleh Pengarah LPKP Sabah, Norsiah Patah di bangunan agensi kerajaan terbabit.
Katanya mesyuarat itu yang turut dihadiri oleh wakil Malaysia Airport Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan menjelaskan bahawa mereka telah mula melaksanakan “geo-fencing” di KKIA dan mengenakan peraturan kepada semua pemandu di bawah seliaan.
Perlaksanaan geo-fencing akan menghalang pemandu-pemandu syarikat e-hailing untuk mendapat pelanggan ketika berada dalam sesuatu lokasi yang ditetapkan…
“LPKP Sabah juga telah menerima dan mengambil maklum permohonan dari pengusaha teksi bandar bermeter untuk beroperasi di lapangan terbang di negeri ini…
“Perkara ini akan diteliti secara menyeluruh bagi memastikan sebarang keputusan yang dibuat akan mengambil kira kebajikan dan kepentingan semua pihak terlibat,” katanya.
Persatuan Limousin dan Teksi KKIA telah mengalami kerugian sejak kemunculan syarikat e-hailing lebih lima tahun lalu ditambah dengan kekurangan pelanggan pelancong asing sejak pandemik COVID-19.
Seramai 180 pemandu teksi KKIA yang kebanyakkan mereka terdiri daripada golongan warga emas terus merintih barisan pelanggan mereka selalu dipotong pemandu e-hailing.
Seorang pemandu teksi KKIA yang beroperasi sejak tahun 1993, Tamri Nabidin, 62, berkata pendapatan harian beliau hanya mencecah RM 15 sehari atau RM 450 sebulan.
“Sedangkan gaji minima ditetapkan kerajaan adalah RM 1200…macamana kami mau hidup dengan pendapatan berjumlah itu sahaja?..
“Saya ada tiga orang anak dan beberapa cucu dalam tanggungan saya sendiri. Tidak mungkin saya dapat menampung kos minyak dan penyelenggaraan kenderaan saya sementara kos sara hidup semakin tinggi,” katanya.
Beliau berkata dirinya tidak marah kepada pemandu e-hailing kerana juga sepertinya, mereka sedang bertungkus lumus mencari mata pencarian.
“Pemandu e-hailing pun manusia yang mahu hidup. Saya cuma minta kerajaan menyeragamkan harga tambang bagi kawasan ini supaya perkara (dipotong barisan pelanggan) tidak kerap berlaku,” katanya.
Oleh kerana telah melabur kepada lesen dan kenderaan teksi khas, kebanyakkan pemandu teksi tidak lagi mampu membeli kereta baharu bagi menepati syarat syarikat e-hailing.
Pada 16 Julai tahun lalu, tekanan hidup ini telah mengakibatkan seorang pemandu teksi di KKIA melanggar teksi rakan lain dalam keadaan marah yang dipercayai berpunca dari barisan dipotong.
Pemandu terbabit, Ng Chin Seng, 65, dilaporkan meninggal dunia pada Ogos 2021 disebabkan beberapa komplikasi kesihatan.