ANTANANARIVO: Madagascar mengisytiharkan darurat tenaga di seluruh negara pada Selasa susulan gangguan serius bekalan bahan api yang berpunca daripada konflik di Asia Barat.
Kekurangan bahan api yang melanda seluruh negara itu memaksa Kabinet mengambil langkah luar biasa dan segera bagi memulihkan bekalan tenaga serta memastikan kesinambungan perkhidmatan awam.
Dalam satu kenyataan, kerajaan negara tersebut berkata pengisytiharan darurat tenaga membolehkan pihak berkuasa melaksanakan tindakan khas untuk menangani krisis yang disifatkan sebagai semakin meruncing.
“Keputusan ini dibuat selepas mendapati negara sedang berdepan krisis mendalam akibat gangguan bekalan tenaga di seluruh pulau yang berkait dengan konflik di Asia Barat,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, beberapa negara Afrika lain turut mengambil langkah bagi menangani kenaikan harga minyak global susulan konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
Zambia, misalnya, memansuhkan Cukai Nilai Tambah (VAT) serta menggantung duti eksais ke atas import petrol dan diesel selama tiga bulan bermula 1 April, manakala Botswana sebelum ini menangguhkan levi jalan dan bahan api selama enam bulan bagi mengurangkan beban pengguna.






