TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan rakyat Sabah yang bekerja, belajar dan menetap di Semenanjung Malaysia untuk mengundi secara pos sekiranya Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) diadakan.
Madius berkata, cadangan tersebut yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, adalah wajar dan selaras dengan usaha memperluas akses rakyat terhadap hak demokrasi mereka tanpa kekangan geografi dan kos perjalanan.
“Bagi saya langkah ini amat penting bagi memastikan rakyat Sabah yang berada di luar negeri asal tidak terhalang daripada menunaikan tanggungjawab serta hak sebagai pengundi.
“Ramai warga Sabah di Semenanjung menghadapi kesukaran untuk pulang ke kampung semasa pilihan raya disebabkan tambang penerbangan yang tinggi, kesukaran mendapatkan cuti dan kekangan masa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Madius, cadangan undi pos itu bukan perkara baharu, malah telah beberapa kali diusulkan oleh pelbagai pihak termasuk pertubuhan masyarakat sivil seperti Bersih.
Beliau menegaskan, pelaksanaannya akan membantu memastikan rakyat Sabah dapat menunaikan kewajipan terhadap negara tanpa perlu menanggung beban kewangan dan logistik yang besar.
“Undi pos yang telus dan selamat akan membolehkan lebih ramai rakyat Sabah menyertai proses demokrasi dengan mudah. Kita perlu memastikan hak mengundi dapat dinikmati oleh semua warganegara tanpa mengira lokasi mereka berada,” tegas beliau yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Madius menambah, cadangan ini seiring dengan prinsip keadilan dan keterangkuman yang menjadi asas kepada sistem pilihan raya di negara ini, dan sewajarnya diberi perhatian serius oleh kerajaan serta SPR.
“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh amalan demokrasi, tetapi juga mencerminkan kesungguhan kerajaan memastikan setiap suara rakyat Sabah diambil kira dalam menentukan masa depan negeri dan negara,” katanya.
Sebelum ini, Lee Chean Chung dilaporkan menggesa SPR meneliti kemungkinan memperkenalkan mekanisme undi pos khas untuk warga Sabah di Semenanjung, sebagai langkah inklusif bagi memastikan hak demokrasi mereka tidak dinafikan akibat kekangan jarak dan kos perjalanan.
Sehubungan itu, Madius turut menyeru agar SPR bersama kerajaan negeri meneliti keperluan undang-undang, logistik dan mekanisme pelaksanaan undi pos dengan segera, termasuk memperkenalkan sistem pengundian awal dan saluran maklumat rasmi bagi pengundi Sabah yang menetap di luar negeri.






