KOTA KINABALU, SABAH – Malaysia harus menghantar protes diplomatik terkuat ke China dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung aktiviti ketenteraan China di Laut China Selatan.
Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata peningkatan insiden baru-baru ini di mana kapal-kapal China menceroboh perairan Malaysia menunjukkan kurangnya penghormatan kuasa besar itu terhadap jiran-jirannya.
“Kerajaan Malaysia mesti memanggil duta besar China ke Malaysia, dan kita harus segera meminta pertemuan Majlis Keselamatan PBB untuk mencari jalan keluar dari konflik ketenteraan Laut China Selatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kitingan mengatakan sambil mengakui bahawa permasalahannya halus, di samping wujudnya ada kepentingan lain yang mesti dipertimbangkan oleh kedua-dua kerajaan terutamanya bagi Malaysia, dia percaya bahawa tindakan lembut Malaysia akan memberi isyarat yang salah kepada pihak pengancam.
“Walaupun China adalah salah satu rakan dagang terbesar kita, kita akan kehilangan kestabilan jika tidak menangani situasi ini dan mempertahankan kedaulatan negara. Kita tidak boleh berdiam diri dalam menghadapi pencerobohan ini…
“Walaupun urus niaga perdagangan antara China adalah baik, ia tidak bermakna apa-apa jika memerlukan kita untuk sentiasa berjaga-jaga dalam takut kehilangan wilayah kita suatu hari nanti,” katanya.
Kitingan menyatakan bahawa jika Malaysia tidak bersuara, negara-negara lain boleh menafsirkan tindakan berdiam negara ini sebagai tanda bahawa bertindak ianya sebuah proksi bagi China.
Dia percaya bahawa Malaysia perlu tetap netural dan mengamalkan transparense demi keselamatan politik dan ekonomi sendiri.
Pada masa yang sama, dia menggesa kerajaan persekutuan untuk meningkatkan kesiapsiagaan tentera Malaysia untuk melindungi wilayah Sabah dan Sarawak.
“Kejadian pencerobohan ruang udara negara yang dilakukan China pada bulan Jun lalu seharusnya menjadi peringatan kepada kita untuk meningkatkan kesiapsiagaan kita untuk kejadian yang serupa di masa depan…
“Sekiranya Laut China Selatan hilang, Sabah dan Sarawak akan menjadi sasaran pertama serangan ini. Sejujurnya, kita merasa agak rentan dan terdedah sekarang,” katanya.
Oleh itu, Kitingan mendesak pemerintah persekutuan untuk mengambil sikap tegas dalam isu ini dengan menegaskan bahawa wilayah itu adalah milik Malaysia, tanpa mengira akibat ekonomi jangka pendek.
“Sekiranya China salah, maka mereka salah. Jangan lagi mereka sewenang-wenangnya memasuki laut atau ruang udara kita…
“Kuasa-kuasa besar dunia, termasuk dari Barat, mesti berhenti menggunakan wilayah kita sebagai proksi demi perang mereka.
“Sekiranya kamu mempunyai perselisihan antara satu sama lain, selesaikanlah di antara kamu. Jangan gunakan Laut China Selatan untuk menunjukkan kekuatan anda. Tinggalkan wilayah kita, rakyat kita, ekonomi dan masa depan kita kepada kuasa kami sendiri.
“Biar orang-orang di Asia Tenggara yang mengukir masa depan sendiri. Bukan orang lain, dan terutamanya bukan entiti asing yang mengaku sebagai ‘abang long’ (big brother),” katanya.