
KOTA BELUD, SABAH – Mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Pirasan menerima bantuan RM50,000 daripada Perdana Menteri Malaysia.
Bantuan kewangan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politik Kanan Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin kepada enam Ketua Isi Rumah (KIR).
“Pada hari ini, saya bersama pegawai dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) mewakili YAB Perdana Menteri menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran.
“Ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Madani khususnya Perdana Menteri kepada rakyat yang menghadapi musibah.
“Saya juga berterima kasih kepada pihak-pihak lain yang berbesar hati membantu mangsa khususnya kerajaan negeri,” katanya kepada media di sini, pada Rabu.
Sementara itu, mangsa, Siti Noorlizawana Shandrawan Jailin, 38, yang kehilangan rumah warisan berusia 37 tahun mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas bantuan yang dihulurkan.
“Kami amat berbesar hati dan rasa terharu di atas kesanggupan wakil Perdana Menteri untuk datang sendiri ke sini dan menyerahkan bantuan pada hari ini.
“Bantuan ini akan kami guna untuk menambah ruang dalam rumah baharu yang dibina hasil sumbangan rakan-rakan, saudara mara dan wakil rakyat,” jelasnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 30 September lalu, litar pintas telah mengakibatkan sebuah rumah yang didiami 25 orang daripada enam keluarga hilang tempat tinggal. — JABATAN PENERANGAN SABAH