
KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Malam Anugerah Pena Kinabalu (MAPENA) akan berlangsung pada 6 September depan.
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Aminah Awang Besar berkata, anugerah utama yang akan disampaikan pada majlis berkenaan adalah Anugerah Sastera Negeri Sabah.
“Bersempena MAPENA juga akan disampaikan hadiah kepada pemenang yang karyanya dipilih untuk memenangi Hadiah Sastera Sabah.
“Untuk Hadiah Sastera Sabah, ada seramai 26 penerima yang telah memenangi hadiah ini untuk beberapa kategori iaitu kategori buku dan eceran.
“Pemilihan dilakukan oleh panel penilaian dan bagi Anugerah Sastera Negeri Sabah tentu sahaja kita melihat kepada tokoh yang memberikan sumbangan yang besar kepada perkembangan sastera khususnya di negeri Sabah.
“Manakala untuk Hadiah Sastera Sabah pula, panel penilai memilih karya-karya yang menepati kriteria untuk setiap kategori yang dipertandingkan antaranya kategori novel dewasa, novel remaja dan novel kanak-kanak manakala untuk eceran ada pelbagai genre antaranya cerpen serta puisi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.
Selain itu, Aminah memaklumkan tujuan kunjungan adalah bagi mengundang Tun Juhar hadir ke MAPENA sekaligus menyampaikan anugerah kepada penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah yang keempat, Datuk Jasni Matlani.
Turut hadir, Timbalan Pengarah II DBP, Julianah Kuli, Penolong Pengarah DBP, Noorzanani Kata dan Penolong Pengarah DBP, Maslijan And Rasad. — JABATAN PENERANGAN SABAH