TAWAU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Tawau berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk rokok putih dengan merampas 4,560 karton rokok putih bersama dua buah bot pancung dan sebuah lori yang digunakan oleh sindiket penyeludupan di kawasan Sungai Merotai Kecil sini lebih kurang jam 4.45 pagi, Khamis lalu.
Timbalan Pengarah Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Amiludin Yengah berkata,bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan Ops Pluto Timur dan Ops Sejahtera di perairan Tawau, mengesan sebuah bot laju yang bergerak dari arah Pulau Sebatik menuju ke Tawau di kedudukan 1.4 batu nautika selatan Sungai Merotai Kecil.
Menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia,bot tersebut bertindak memecut laju menuju masuk ke kawasan Sungai Merotai Kecil…
“Dalam suasana gelap dan jarak penglihatan yang terhad, usaha pengejaran bot tersebut telah menemukan lokasi pemunggahan dimana terdapat dua buah bot laju dan sebuah lori kargo yang sedang menjalankan aktiviti pemunggahan rokok seludup.
“Menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia, tekong bot dan kesemua suspek yang berada di lokasi kejadian telah bertindak melarikan diri ke kawasan hutan bakau berhampiran dan meninggalkan kesemua kotak dipercayai rokok tidak bercukai, dua buah bot laju dan sebuah lori kargo.
“Keadaan persekitaran yang berlumpur dan gelap mengehadkan usaha untuk mengesan suspek yang melarikan diri,” katanya.
Jelas Amiludin, pemeriksaan selanjutnya di lokasi kejadian telah menemukan 3500 kotak rokok jenama Astro, 500 karton rokok jenama Asatu Kretek,560 karton jenama A-Satu Mild, dua buah bot kayu tidak berdaftar dengan enjin 200 kuasa kuda setiap satu serta sebuah lori kargo 3 tan.
“Kesemua barangan dan kenderaan yang digunakan sindiket dirampas untuk disiasat di bawah Akta Kastam 1967 atas kesalahan penyeludupan rokok tidak bercukai.
“Nilai rampasan keseluruhan termasuk kenderaan dianggarkan mencecah hampir RM 300,000, dengan nilai rokok RM156,000…
“Siasatan akan dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat dalam sindiket ini,” tegasnya.
Beliau juga percaya bahawa sindiket penyeludupan ini mendapatkan bekalan rokok seludup dari negara jiran dengan modus operandi membawa masuk pada waktu sunyi dengan menggunakan bot berkuasa tinggi bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa.
Ini merupakan kes kedua pada tahun ini melibatkan aktiviti penyeludupan rokok.
Statistik tangkapan Zon Maritim Tawau pada tahun 2022 telah merekodkan 54 kes tangkapan pelbagai kesalahan umum di bawah Akta Kastam 1967,Akta Imigresen 1959/63,Akta Kawalan Bekalan 1961,Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Enakmen JPDS.
Selain itu,dalam 2 kes berasingan sebuah bot ‘Barter Trade’ dari Filipina dan sebuah bot kargo tempatan turut ditahan Maritim Malaysia atas kesalahan memiliki barang kawalan tanpa permit yang sah tempoh hari.
Pada Jumaat (21 Okt) kira-kira jam 12.20 tengah hari, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan pemeriksaan rutin telah mengesan bot Barter Trade yang berdaftar di Filipina itu di kedudukan 0.27 batu nautika selatan Pelabuhan Tawau.
“Pemeriksaan ke atas kapal yang membawa 9 krew warga Filipina berdaftar termasuk juragan tersebut telah menemukan 12 tong gas LPG berisi tanpa sebarang permit yang sah…
“Juragan bersama bot tersebut telah ditahan untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Sementara itu,pada 22 Okt 2022,sebuah lagi bot kargo tempatan turut ditahan atas kesalahan membawa barang kawalan tanpa permit.
“Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu,bot peronda Maritim Malaysia telah menahan dan memeriksa bot kargo tersebut yang bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan selanjutnya mendapati seorang juragan warga tempatan membawa muatan bahan api jenis petrol dan diesel sebanyak 40 tong dengan anggaran 1,150 liter,” katanya.
Menurutnya, juragan bot gagal menunjukkan sebarang permit berkaitan barangan yang dibawa seterusnya ditahan dan di bawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.