TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya menahan dua buah bot kargo yang membawa muatan pelbagai barangan runcit dan barang kawalan dalam dua kes berasingan di sekitar Perairan Tawau pada Selasa.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, terdahulu bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Ops Sejahtera dan Ops Pluto Timur telah berjaya mengesan sebuah bot kargo yang bergerak dalam keadaan mencurigakan dari Perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik berhampiran Pelabuhan Tawau kira-kira pada pukul 5.50 petang.
“Pemeriksaan lanjut ke atas bot terbabit mendapati seorang juragan lelaki warga Indonesia berusia 35 tahun membawa pelbagai barangan runcit dan menyembunyikan muatan bahan api jenis petrol sebanyak 12 gelen dianggarkan kira-kira 300 liter.
“Pemeriksaan dokumentasi juga mendapati juragan tidak mempunyai sebarang kebenaran bagi membawa barang kawalan tersebut,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Dalam kes berasingan, sebuah lagi bot kargo turut ditahan di lokasi sama pada pukul 6.30 petang hari yang sama.
“Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun bertindak selaku juragan membawa muatan pelbagai barangan runcit di dalam bot tersebut.
“Pemeriksaan menyeluruh ke atas bot tersebut telah menemukan barang kawalan berjadual iaitu 5 gelen bahan api jenis petrol dan 19 gelen bahan api jenis diesel yang disembunyikan dibawah timbunan barang-barang runcit dengan anggaran sekitar 600 liter.
“Pemeriksaan dokumentasi seterusnya mendapati juragan tersebut gagal mengemukakan permit serta lesen yang sah berkaitan barang kawalan yang dibawa,” jelasnya.
Kedua-dua bot kargo bersama juragan dan kesemua muatan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk disiasat oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967 bagi kesalahan yang dilakukan.
Shahrizan berkata, kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah hampir RM60,000.
“Taktik membawa barang kawalan dalam kuantiti kecil secara berulang dan membawa barang kawalan melebihi kuota yang dibenarkan sering kali digunakan oleh pengusaha yang mementingkan keuntungan bagi mengelakkan dari dikesan oleh penguatkuasa.
“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” tambahnya.