SANDAKAN, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya merampas 900 karton rokok putih dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran, awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin bin Mohd Zuki berkata, bertindak atas maklumat risikan, bot peronda Maritim Malaysia telah diatur gerak bagi melaksanakan pemintasan dan berjaya mengesan dua bot pancung dalam keadaan bergelap serta mencurigakan sekitar jam 2.30 pagi.
“Sebaik menyedari kehadiran bot peronda, kedua-dua bot pancung terbabit memecut laju menghala ke Sungai Luboh. Ketika dalam proses kejar mengejar, kedua-dua juragan terjun dari bot dan melarikan diri ke arah hutan bakau berdekatan…
Hasil pemeriksaan ke atas bot pertama menemui lapan kotak besar berisi 400 karton rokok putih, manakala enam kotak besar berisi 300 karton rokok jenis yang sama ditemui di atas bot kedua,” dia berkata.
Turut ditemui sebuah kenderaan pacuan empat roda serta sebuah van tanpa pemandu di kawasan berdekatan dan disyaki terbabit sama berikutan penemuan empat kotak besar berisi 200 karton rokok putih serta tiga kampit beras dengan berat 50 kilogram setiap satu, 200 kilogram tepung gandum, 120 kilogram gula dan 51 kilogram minyak masak dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran.
Kesemua barang rampasan termasuk bot dan kenderaan di bawa ke Pejabat Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan dan tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Maritim Malaysia akan sentiasa bekerjasama dengan pasukan keselamatan lain dan akan terus meningkatkan kawalan di persempadanan perairan negara terutamanya dalam memerangi penularan COVID-19 disamping membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan di Zon Maritim Malaysia,” tambah beliau.
Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus diadukan kepada Maritim Malaysia melalui Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau melalui talian MERS 999.