KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin, mendesak Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk segera mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu kekurangan parkir di Hospital Queen Elizabeth I (QEH I) yang telah lama membelenggu penduduk bandar raya ini.
Menurut Chan, masalah tersebut kini mendapat perhatian sewajarnya di peringkat pusat selepas Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, menerima taklimat langsung daripada Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah merangkap ADUN Luyang, Datuk Phoong Jin Zhe, dalam satu pertemuan awal tahun ini.
“Datuk Phoong telah menyuarakan isu ini bagi pihak kerajaan negeri dan maklum balas yang diterima sangat positif. Kami akan terus mendesak agar pelaksanaan penyelesaian yang realistik dan berimpak tinggi dilaksanakan dalam masa terdekat,” kata Chan.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri program kesihatan komuniti “War on Sugar Kota Kinabalu” yang berlangsung di parkir bertingkat Foh Sang, Luyang.
Chan menyatakan bahawa pembukaan kemudahan parkir tersebut telah memberi kesan positif dalam mengurangkan kesesakan dan kesulitan parkir di kawasan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Chan yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, memaklumkan bahawa satu projek pembangunan bercampur (mixed-use development) yang menggabungkan komponen perubatan dan komersial akan dilaksanakan berdekatan QEH II.
“Projek ini akan menawarkan kira-kira 1,500 petak parkir baharu, yang dijangka mampu menampung keperluan parkir pesakit, pengunjung dan kakitangan hospital, sekali gus mengurangkan beban trafik di kawasan berkenaan,” jelasnya.
Tambah Chan, isu parkir bukan sahaja memberi kesan kepada keselesaan orang awam tetapi juga menjejaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan, khususnya bagi golongan pesakit kronik dan warga emas.
Beliau menegaskan bahawa penyediaan infrastruktur sokongan seperti parkir harus menjadi sebahagian daripada pelan strategik pembangunan kesihatan, terutama di kawasan bandar yang padat penduduk seperti Kota Kinabalu.
Chan memberi jaminan bahawa beliau akan terus memainkan peranan aktif dalam menyuarakan isu-isu rakyat di Parlimen, terutamanya melibatkan kemudahan awam dan kesihatan.
“Rakyat berhak mendapat akses yang mudah dan selesa kepada perkhidmatan kesihatan. Kami akan pastikan keperluan ini tidak lagi dipandang ringan,” katanya.






