KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun tidak menolak kemungkinan berlakunya pertembungan terbuka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Walau bagaimanapun, beliau berharap agar rakan-rakan politik dalam gabungan itu menggunakan kebijaksanaan demi mengelakkan situasi tersebut.
Masidi mengulas kenyataan Setiausaha Agung UPKO, Senator Datuk Nelson Angang yang membayangkan hasrat untuk bertanding di kawasan penyandang GRS seperti Limbahau adalah masih terlalu awal memandangkan belum ada pengumuman rasmi dibuat.
Beliau menegaskan bahawa bagi kerusi-kerusi yang telah dirundingkan, GRS tetap akan meletakkan calon mereka tanpa mengira siapa pihak lain yang bertanding.
“Niat dan tindakan sebenar boleh jadi berbeza. Kami telah berunding dengan Pakatan Harapan dan atas dasar itu, kami mengharapkan semua pihak menghormati perjanjian yang dibuat.
“Jika tidak, mereka membuka ruang kepada pertembungan yang lebih besar. Jika kita terus bergaduh sesama sendiri, kita membenarkan pihak yang tidak berkawan dengan kita untuk menang.
“Jika kita sudah bersetuju untuk bekerjasama sebagai satu pasukan, maka kita harus bertindak sebagai satu pasukan.
“Tidak boleh mengaku sebagai kawan tetapi pada masa sama menikam dari belakang. Persahabatan tidak berfungsi begitu,” katanya pada sidang media hari ini.
Masidi menegaskan GRS sentiasa mengamalkan semangat berpasukan dan saling menghormati antara rakan gabungan.
Beliau turut mengalu-alukan pertandingan secara demokratik di Karanaan, kerusi yang diwakilinya selama 21 tahun, namun menyatakan tanggungjawabnya sebagai Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah menuntut beliau untuk terus mengetuai perjuangan.
“Seorang jeneral mesti memimpin di hadapan, bukan sekadar memberi arahan dari belakang,” katanya.
Masidi turut memaklumkan bahawa GRS merancang untuk mengumumkan calonnya kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon pada Nov 15 Ini.






