Masiung Desak Kouta Subsidi BUDI Diesel Sabah, Sarawak Dinaikkan Kepada 500 Liter...

Masiung Desak Kouta Subsidi BUDI Diesel Sabah, Sarawak Dinaikkan Kepada 500 Liter Sebulan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa mengkaji semula pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel di Sabah dan Sarawak dengan menaikkan kouta pembelian kepada 500 liter sebulan bagi setiap kenderaan persendirian, selaras dengan faktor geografi serta jarak perjalanan yang jauh di kedua-dua negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, kouta sedia ada sebanyak 200 liter sebulan adalah tidak praktikal untuk kegunaan rakyat di Sabah dan Sarawak kerana keadaan muka bumi serta rangkaian jalan raya berbeza sama sekali berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. 

Tegasnya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah wajar menjadi platform mendesak Kementerian Kewangan Persekutuan menilai semula dasar berkenaan agar lebih adil kepada penduduk di Borneo.

“Melalui Dewan Yang Mulia ini saya mencadangkan supaya Persekutuan menaikkan kuota subsidi BUDI Diesel sehingga 500 liter sebulan bagi Sabah dan Sarawak. Kuota 200 liter sebulan adalah tidak praktikal bagi lokasi perjalanan di bumi Borneo,” katanya ketika membahaskan usul pada Persidangan DUN Sabah di sini, semalam.

Menurut, Pengerusi Kelab Backbenchers Sabah itu, rakyat di kawasan pedalaman terpaksa menempuh perjalanan yang jauh untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan atau memasarkan hasil pertanian, menyebabkan penggunaan diesel jauh lebih tinggi berbanding pengguna di Semenanjung.

Beliau berkata, penduduk di kawasan Kuamut misalnya perlu memandu antara lima hingga enam jam untuk berurusan di Kota Kinabalu, dengan penggunaan diesel melebihi 100 liter bagi perjalanan sehala, manakala perjalanan pergi dan balik boleh mencecah sekitar 200 liter hanya dalam tempoh satu hingga dua hari.

“Harus diingat kawasan saya di Kuamut lebih besar berbanding negeri Kedah. Kalau di Semenanjung memandu 20 minit sudah melalui dua atau tiga negeri, tetapi di Sabah memandu selama tiga jam hanya melintasi satu atau dua daerah sahaja,” katanya.

Masiung turut berkata, masih ramai penduduk di kawasan pedalaman Sabah yang belum menikmati kemudahan jalan raya dan bekalan elektrik, menyebabkan mereka bergantung kepada pengangkutan bot serta generator diesel untuk keperluan harian.

Katanya, syarat kelayakan subsidi BUDI Diesel yang terlalu ketat menyebabkan sebahagian besar penduduk luar bandar tidak menikmati subsidi, termasuk petani, nelayan dan pengusaha bas sekolah yang menggunakan kenderaan dibeli melalui pinjaman permit atau kaedah sambung bayar dan tidak didaftarkan atas nama sendiri.

“Mereka inilah yang akhirnya terpaksa membeli diesel pada harga RM3.97 seliter kerana tidak layak menikmati subsidi BUDI Diesel. Dasar ini perlu dikaji semula mengikut realiti geografi dan keperluan rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berharap Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula pelaksanaan subsidi bersasar itu supaya dasar berkenaan lebih bersifat inklusif dan mengambil kira cabaran sebenar yang dihadapi rakyat di Sabah dan Sarawak, khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.