SANDAKAN: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah dilantik sebagai Ketua Bahagian Kinabatangan dalam penstrukturan semula organisasi parti yang kini berasaskan kawasan Parlimen.
Pembentukan Jawatankuasa Penaja Gagasan Rakyat Bahagian Kinabatangan itu menghimpunkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Kuamut, Sukau dan Lamag di bawah satu struktur bahagian.
Penyusunan semula itu turut menyaksikan Datuk Juhari Janan dari DUN Sukau dilantik sebagai Timbalan Ketua Bahagian, manakala Datuk Abu Bakar Gapar dari DUN Lamag sebagai Naib Ketua Bahagian.
Tiga sayap utama parti pula diterajui Jahiah @ Jaliliah Apiang sebagai Ketua Pergerakan Wanita, Willy Frous Daronsok sebagai Ketua Pemuda dan Farizatul Akma Abdul Rahman sebagai Ketua Beliawanis.
Aksyah Haji Nasrah dilantik sebagai Ketua Penerangan, manakala Jamlin Kayatah sebagai Setiausaha dan Tokyo Abdul Hasim Salulid Kandan sebagai Bendahari Bahagian.
Turut dilantik Nurlisah Awang sebagai Naib Ketua Wanita, Badrul Hisham Juhari sebagai Naib Ketua Pemuda dan Siti Khalidah Mahalil sebagai Naib Ketua Beliawanis.
Keseluruhannya, seramai 38 anggota menganggotai Jawatankuasa Penaja Gagasan Rakyat Bahagian Kinabatangan yang baharu.
Masiung yang juga Wakil Rakyat Kuamut mahu semua anggota jawatankuasa penaja melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan sebagai tanggungjawab kepada parti serta rakyat di peringkat bahagian.
“Semua anggota jawatankuasa penaja perlu melaksanakan tugas yang diamanahkan sebagai tanggungjawab kepada parti dan rakyat di peringkat bahagian,” katanya.
Penyusunan semula jawatankuasa itu berlangsung dalam satu mesyuarat di Hotel Livingstone, Sandakan.
Penstrukturan berkenaan merupakan sebahagian daripada rombakan organisasi Gagasan Rakyat secara besar-besaran di Sabah yang melibatkan pindaan perlembagaan parti.
Menerusi struktur baharu itu, Gagasan Rakyat menukar asas pembentukan bahagiannya daripada kawasan DUN kepada kawasan Parlimen bagi menyatukan bahagian-bahagian kecil supaya fungsi organisasi menjadi lebih besar dan tersusun.
Susulan perubahan berkenaan, struktur parti itu kini mempunyai 26 bahagian baharu merangkumi Sabah dan Labuan berbanding 74 bahagian sebelum ini.
Langkah strategik berkenaan dilaksanakan bagi mengukuhkan organisasi dan jentera Gagasan Rakyat sebagai tunjang Gabungan Rakyat Sabah (GRS).






