TENOM, SABAH – Mayat terakhir DUA (2) mangsa yang dikhuatiri lemas baru-baru ini di sungai Kampung Kalandos Pangi, Tenom ditemui pada pukul 7.52 pagi tadi.
Joseph Sayah, 55, ditemukan menyangkut pada dahan pokok di tebing sungai Kampung Saliwangan oleh penduduk kampung.
Mangsa telah hanyut dibawa arus perairan Sungai Padas kira-kira 37 kilometer dari lokasi kejadian bot karam pada Rabu lalu.
Dalam insiden 4 petang itu, EMPAT (4) orang mangsa baharu sahaja selesai membeli barangan keperluan dari Pekan Tenom.
Namun rutin bertukar tragedi apabila arus deras menterbalikkan bot yang dinaiki mereka sebaik sahaja menghampiri tebing sungai.
Dua mangsa termasuk seorang lelaki, 60, dan seorang wanita, 56, berjaya menyelamatkan diri.
Pada Khamis, mayat Melvin Junaidi, 12 tahun, juga ditemui orang kampung 33 kilometer dari lokasi kejadian. Beliau merupakan cucu kepada mangsa lelaki yang selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tenom, PPgB Zainal Sinsian berkata mangsa terakhir yang dijumpai hari ini merupakan suami kepada mangsa wanita yang selamat.
“Pasukan Bomba bertindak mengangkat mangsa ke tebing dan seterusnya menyerah mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut…
“Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR) bersama-sama agensi bantuan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah tamat sepenuhnya pada jam 8.55 pagi,” katanya.
Tambah beliau, keempat mangsa merupakan penduduk kampung setempat yang sering menaiki bot untuk ke pekan.