Membakut Jadi Tumpuan Pencinta Puisi Islam Jun Ini

Membakut Jadi Tumpuan Pencinta Puisi Islam Jun Ini

0
SHARE
Arifin
Jasni (dua dari kanan) mengiringi Arifin (dua dari kiri) ketika mengumumkan keputusan sayembara menulis puisi Islam ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

MEMBAKUT, SABAH – Daerah Membakut bakal menjadi tumpuan para pencinta puisi Islam menerusi Mahrajan Persuratan dan Kesenian Nusantara Ke-10, Jun depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata sempena penganjuran ke-10 itu, pihaknya akan menggabungkan mahrajan persuratan dengan festival marhaban dan kompang untuk memberikan impak maksimum kepada usaha menarik minat masyarakat khususnya golongan muda untuk melestarikan sastera Islam.

“Tahun ini, kita akan mengadakan Mahrajan Persuratan dan Kesenian Nusantara Membakut pada bulan Jun.

“Pejabat Daerah Membakut seperti biasa akan bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan kerajaan negeri di bawah Pejabat TSKN Tugas-tugas Khas.

“Kita akan adakan sayembara yang sama termasuk sayembara menulis puisi, seminar persuratan, anugerah tokoh penyair dari Indonesia dan Sabah.

“Dari segi persembahan, kita akan gabungkan festival marhaban dan kompang peringkat Negeri Sabah di samping bengkel khat, pertandingan menulis kaligrafi peringkat Borneo.

“Untuk sastera, kita adakan seminar, bengkel penulisan, sayembara menulis puisi dan seni kebudayaan di Dewan Seri Wawasan Kampung Pimping,” jelas beliau dalam sidang media pengumuman keputusan Sayembara Menulis Puisi Berunsur Islam sempena Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara Ke-9 2023, semalam.

Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut memaklumkan, sayembara tersebut adalah untuk menyemarak dan melestarikan perkembangan sastera Islam di negeri ini.

“Sayembara ini merupakan anjuran Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Pejabat Daerah Membakut dengan Kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Tujuan sayembara ini diadakan ialah untuk menyemarak dan melestarikan perkembangan sastera Islam, khususnya puisi Islam di Sabah.

“Selain itu, kita juga mahu mendapatkan lebih banyak karya sastera yang berunsur Islam dan mendedahkan penulis muda kepada penulisan karya sastera yang berunsur Islam,” katanya.

Mengenai sayembara berkenaan, beliau mendedahkan, pihaknya menerima sebanyak 266 buah puisi yang dihasilkan oleh 156 orang penyair dari beberapa negara ASEAN yang bertemakan “Ke Arah Penyatuan, Kesejahteraan dan Kemajuan Ummah”.

“Penyertaan termasuklah 94 puisi yang dihasilkan oleh penyair dari Indonesia, 156 puisi oleh penyair Malaysia, tujuh puisi dari Brunei Darussalam, lima puisi dari Thailand dan empat lagi dari Singapura.

“Semua puisi yang dihantar untuk sayembara ini berunsur Islam dan dinilai oleh tiga orang ahli panel yang telah dilantik iaitu Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Datuk Jasni Matlani, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Prof. Datuk Dr. Ts. Ramzah Dambul dan Perancang Bahasa DBP, Noor Ainna Abd Hamid dalam dua peringkat iaitu peringkat awal dan peringkat akhir,” ujar beliau.

Johan sayembara terbabit dirangkul oleh Shapial Muhd Ramly yang berasal Johor melalui karya bertajuk “Imam dan Makmum”, naib johan Mohd Istajib Mokhtar dari Selangor dengan karja bertajuk “Nun Ya Lam” dan tempat ketiga oleh Intan Rosina dari Sabah dengan judul puisi, “Roh Ukhuwah”.

Manakala lima hadiah saguhati dimenangi Zup Dompas Usman (Indonesia) “Air Berpikir”, Abang Median Abang Said (Sarawak) “Menyimpul Cahaya”, Badariah Arbin (Sabah) “Tanah Ini Warisan Kita”, Muhd. Ghazali Mohd Ros (Melaka) “Pada Malam Cahaya Itu Datang Kepada Kita” dan Norhayati Tasif (Sabah) “Seurat Benang Yang Menjahit Luka Bangsa”.

Mengulas lanjut, kata Arifin, kualiti karya yang dihasilkan pada tahun lepas didapati meningkat dan hampir semua penyertaan menepati tema yang ditetapkan, selain penglibatan para penyair yang terkenal.

Ketika ditanya mengenai prestasi penyair tempatan, Jasni menjelaskan, persaingan yang agak tinggi dalam kalangan penyair dan olahan isu Islam yang lebih matang merupakan faktor utama yang dikenal pasti dan pihaknya yakin kelemahan tersebut dapat diatasi pada musim depan.

Dalam pada itu, Arifin turut mengumumkan, buku yang memuatkan 60 buah puisi berkaitan Palestine hasil nukilannya bakal dilancarkan sebagai buah tangan kepada para penggemar puisi Islam menjelang Ramadan ini. — JABATAN PENERANGAN SABAH