Miliki Aset RM49.5 Juta, Koperasi Green Sabah Bersedia Teroka Industri Minyak dan...

Miliki Aset RM49.5 Juta, Koperasi Green Sabah Bersedia Teroka Industri Minyak dan Gas

0
SHARE

SANDAKAN: Koperasi Green Sabah Berhad yang kini memiliki aset tetap bernilai RM49.5 juta bersedia meneroka peluang perniagaan baharu dalam sektor minyak dan gas, khususnya di Sandakan dan Lahad Datu.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kedudukan kewangan koperasi itu semakin kukuh apabila meningkat daripada RM4.5 juta pada 2007 kepada RM20.4 juta pada 2024 hasil transformasi tadbir urus yang lebih cekap dan telus.

Katanya, antara pencapaian utama koperasi berkenaan termasuk pembelian satu blok bangunan kedai di Bandar Megah Jaya bernilai RM4.9 juta pada 2012 serta pembiayaan penuh projek Rimba Point bernilai RM9.65 juta.

“Rimba Point yang siap pada 2025 membuka sumber pendapatan baharu melalui penyewaan premis, manakala pendapatan tahunan koperasi kini mencecah kira-kira RM3.13 juta.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa pengurusan yang berdisiplin dan berwawasan mampu membawa perubahan besar,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-27 Koperasi Green Sabah Berhad di Dewan Hakka, Sandakan, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Sr Ishak Ayub.

Masidi berkata, kerajaan negeri menyokong penuh hasrat koperasi itu untuk meneroka peluang perniagaan dalam sektor minyak dan gas di Sandakan dan Lahad Datu yang merupakan sebahagian kawasan pembangunan Pantai Timur Sabah yang dizonkan sebagai hab minyak dan gas.

Menurutnya, kedudukan kewangan dan aset yang kukuh membolehkan koperasi mempertimbangkan peluang perniagaan menerusi Pelan Hala Tuju Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas Sabah (OGSE) 2026–2030.

“Hasrat ini berpandangan jauh dan berpotensi menjana manfaat ekonomi jangka panjang kepada koperasi serta anggotanya,” katanya.

Antara bidang yang berpotensi diterokai termasuk logistik dan pengangkutan, pembekalan bahan serta peralatan industri, peralatan perlindungan diri (PPE), perkhidmatan sokongan operasi, penyewaan pejabat dan penginapan pekerja, selain katering serta bekalan makanan.

Sehubungan itu, Masidi menyarankan koperasi berkenaan mengadakan sesi libat urus bersama Sabah Energy Sdn Bhd bagi mendapatkan panduan mengenai pengetahuan, kemahiran dan keupayaan yang diperlukan untuk menceburi industri tersebut.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan setiap perancangan pengembangan perniagaan perlu mengambil kira penilaian daya maju, pengurusan risiko dan keupayaan pelaksanaan bagi memastikan kepentingan anggota terus terpelihara.

“Keuntungan penting untuk menjamin kelangsungan perniagaan, namun manfaat kepada anggota mesti terus menjadi keutamaan,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi turut memuji komitmen Koperasi Green Sabah dalam menjaga kebajikan anggotanya menerusi pelbagai bantuan termasuk khairat kematian, bantuan kemasukan ke hospital, bantuan mangsa banjir serta anugerah kecemerlangan akademik kepada anak anggota.

Beliau menegaskan kekuatan sesebuah koperasi bukan hanya diukur berdasarkan keuntungan dan nilai aset, sebaliknya turut bergantung kepada kepercayaan, penglibatan serta kerjasama anggotanya dalam memastikan organisasi terus berkembang secara mampan.