MINDET Kemuka Inisiatif Baharu Untuk Belanjawan Sabah 2027

MINDET Kemuka Inisiatif Baharu Untuk Belanjawan Sabah 2027

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) mengemukakan beberapa cadangan inisiatif baharu untuk pertimbangan kerajaan negeri dalam penyediaan Belanjawan Sabah 2027.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, cadangan itu dibentangkan dalam sesi libat urus bersama Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, kelmarin.

Katanya, sesi berkenaan turut membincangkan pelaksanaan inisiatif sedia ada oleh kementerian serta agensi di bawahnya.

“Selain inisiatif sedia ada oleh MINDET dan agensi-agensinya, saya juga telah membentangkan beberapa cadangan inisiatif untuk pertimbangan Belanjawan Sabah 2027,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ewon berkata, SEDCOVEST, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) yang merupakan antara agensi di bawah MINDET, turut mengadakan pembentangan khas dalam sesi berkenaan.

Sesi libat urus itu merupakan sebahagian daripada proses penyediaan Belanjawan Sabah 2027 bagi membolehkan Kementerian Kewangan Negeri meneliti cadangan dan keperluan peruntukan kementerian serta agensi berkaitan.

Hadir sama Setiausaha Tetap MINDET, Datuk Thomas Logijin; Timbalan Setiausaha Tetap MINDET, Moira David serta pegawai kanan agensi di bawah MINDET dan Kementerian Kewangan Sabah.