MPOB Tingkatkan Kesedaran Pekebun Kecil Mengenai Penyakit Tanaman Sawit

MPOB Tingkatkan Kesedaran Pekebun Kecil Mengenai Penyakit Tanaman Sawit

0
SHARE
Chan
Chan sekitar Program Kempen Kesedaran Tentang Letusan Populasi Koya dan Kulapuk Jelaga ( Sumber Foto: Ihsan pejabat KPK )

TAWAU, SABAH – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melancarkan program untuk meningkatkan kebersediaan pekebun kecil dalam menangani letusan penyakit koya (Mealybug) dan kulapuk jelaga (Scooty Mold) di daerah Tawau.

Lebih 200 orang pekebun kecil yang mengusahakan tanaman sawit di daerah Tawau hadir pada majlis Program Kempen Kesedaran Tentang Letusan Populasi Koya dan Kulapuk Jelaga yang dirasmikan oleh Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK).

Sebagai langkah proaktif, MPOB telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas Kawalan Mealybug dan Scooty Mold yang terdiri daripada pakar serta penyelidik dalam bidang kawalan perosak bersepadu untuk mengatasi jangkitan penyakit serta gangguan perosak baharu tanaman sawit.

Penubuhan Jawatankuasa yang akan membangunkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai panduan dalam mengendalikan serangan penyakit pokok sawit, langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan penyakit kulapuk jelaga untuk mengekalkan produktiviti tanaman sawit.

Pada majlis yang sama, Chan turut memaklumkan Kerajaan menyediakan dana Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) bagi menafaat kepada pekebun kecil menanam semula pokok sawit tua.

“Sehingga 31 Januari 2024, sebanyak 27 permohonan Skim TSPKS 2.0 telah diterima daripada pekebun kecil di negeri Sabah dengan keluasan 125.20 hektar,” katanya.

Chan juga berharap pekebun kecil sawit mengambil peluang bantuan TSPKS 2.0 yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan melalui penanaman semula pokok sawit tua yang tidak produktif.

Jangka hayat produktiviti ekonomik pokok sawit bermula pada tahun ketiga penanaman sehingga mencecah usia 25 tahun.

Selain skim penanaman semula sawit, KPK melalui MPOB turut menyediakan Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe) serta Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) yang berfungsi sebagai mekanisme pengimbangan pendapatan pekebun kecil sementara tanaman sawit yang ditanam semula mengeluarkan hasil yang optimum.

Bagi memastikan pengeluaran minyak sawit secara mampan termasuk yang diusahakan oleh pekebun kecil sawit, Kementerian melalui MPOB menubuhkan Sustainable Palm Oil Cluster (SPOC) bagi Pensijilan MSPO dalam kalangan pekebun kecil sawit persendirian.

Chan berkata, pelaksanaan Skim Pensijilan MSPO adalah langkah strategik bagi meningkatkan daya saing dan memperkukuhkan imej industri sawit negara.