Mustapha Tidak Bertanding, Lebih 100 Permohonan Calon Diterima PKR Sabah

Mustapha Tidak Bertanding, Lebih 100 Permohonan Calon Diterima PKR Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, mengesahkan beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bagi memberi tumpuan kepada strategi kemenangan calon-calon PKR.

Bernama memetik beliau sebagai berkata PKR Sabah menerima lebih 100 permohonan daripada individu yang berminat untuk menjadi calon, termasuk daripada kalangan profesional luar parti.

Namun, katanya, keutamaan tetap diberikan kepada barisan pimpinan sedia ada sambil memastikan keseimbangan dengan calon baharu bagi mengukuhkan kedudukan parti.

“Proses penilaian akan dibuat secara teliti… kami perlu bersikap terbuka seperti parti lain yang turut merekrut calon dari luar,” katanya selepas melancarkan Program Tuisyen Satelit Malaysia MADANI di Kota Kinabalu pada Sabtu.

Beliau turut menegaskan bahawa keputusan untuk tidak bertanding bukan bermaksud beliau berundur daripada perjuangan parti, sebaliknya memberi ruang kepada muka baharu yang mampu membawa idea segar dan memperkukuh semangat reformasi di Sabah.

Dalam masa sama, Mustapha berkata rundingan pembahagian kerusi dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjalan lancar, dengan hanya beberapa kerusi masih belum dimuktamadkan, dan beliau yakin perkara itu dapat diselesaikan sebelum hari penamaan calon pada 15 November.