Musuh Kemerdekaan Dalam Program Terjah Minda

Musuh Kemerdekaan Dalam Program Terjah Minda

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Terjah Minda, salah satu Program Cintai Ilmu anjuran Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menampilkan Penyelaras Program Gugusan Falsafah dan Isu Semasa, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS, Dr. Nordi Achie yang membicarakan topik ‘Musuh Kemerdekaan’ telah berlangsung baru-baru ini.

Program tersebut disiarkan secara dalam talian di Facebook rasmi Perpustakaan UMS.

Menurut Dr. Nordi, musuh-musuh kemerdekaan itu adalah bermula daripada diri kita sendiri iaitu perangai, sikap dan pemikiran.

“Pemikiran itulah yang mencetuskan dan mempengaruhi sikap serta perangai kita sebagai rakyat Malaysia yang mesti kita waspada, kerana mungkin kita tidak menyedari perangai kita inilah yang merupakan musuh kepada negara, rakyat dan kemerdekaan.

“Sekiranya kita mengenali kelemahan dan kekuatan diri kita sendiri, namun kita tidak mengenali kekuatan dan kelemahan musuh dan dalam konteks wacana ini, musuh kemerdekaan, peluang kita untuk ditewaskan oleh musuh lebih besar.

“Jadi, inilah pentingnya kita mengenali siapa musuh kemerdekaan kita,” katanya…

Beliau juga menambah, antara musuh-musuh lain ialah malas, cuai dan perasaan takut dalam diri.

“Kemalasan berbeza dengan kelecehan. Kita mungkin berasa leceh kalau disuruh mencabut uban, tetapi malas adalah perkara asas yang penting, misalnya disuruh membaca dan belajar tetapi kita tidak mahu, itulah ertinya malas.

“Kenapa negara kita masih lagi ditakuk yang lama, masih lagi menjadi negara membangun, negara mundur ataupun negara yang masih miskin dari segi teknologi dan industri global kerana disebabkan oleh sikap 3C iaitu cuai, cincai dan cikai.

“Perasaan cemas dan takut, membuat individu sanggup menerima rasuah kerana apa yang ada pada diri sentiasa berasa tidak cukup, sebab itulah masalah rasuah di negara ini semakin berleluasa dan semakin bermaharajalela,” katanya.

Beliau turut menegaskan yang banyak syarikat di negara kita mengalami kerugian dan banyak kes mengenai penyelewengan disebabkan cuai memegang amanah negara dan rakyat.

Selain itu, sikap kikir pemerintah yang murah hati terhadap diri mereka sendiri tetapi kedekut terhadap rakyat mengakibatkan dasar seperti ini tidak membantu rakyat.

“Itulah perbezaan antara pemimpin dengan ketua. Pemimpin sanggup korbankan kepentingan dirinya untuk rakyat tetapi seorang ketua berbeza mentalnya yang sanggup mengorbankan kepentingan rakyat untuk kepentingan diri mereka sendiri.

“Dan yang terakhir ialah sikap tamak sepertimana ketamakan negara-negara kaya dan maju tidak mahu melihat negara mundur atau miskin dapat maju dan kaya seperti negara mereka,” katanya.

Di akhir wacana, Dr. Nordi turut mengajak seluruh warga UMS khasnya dan rakyat Malaysia agar dapat menentang musuh-musuh kemerdekaan yang dinyatakannya itu.