BELURAN, SABAH – Ajal menemui seorang wanita berusia 78 tahun selepas dilanggar bas ekspres yang menuju ke Sandakan dari Kota Kinabalu di Kampung Bauto, Jalan Telupid-Ranau, sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata mangsa terbabit dipercayai tiba-tiba berjalan melintas dari arah kiri ke kanan jalan dalam kejadian 2.30 petang itu.
“Siasatan awal mendapati bas ekspres bersama 26 penumpang dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun.
“Pemandu bas ekspres tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa terbabit hingga menyebabkan mangsa tercampak di atas jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Telupid pada jam 5.35 petang manakala pemandu bas bersama penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (1987).





