KOTA KINABALU, SABAH – Pakatan Harapan (PH) Sabah memandang positif tindakan Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) dalam membawa isu 40 peratus hak perlembagaan Sabah yang terus didengar di mahkamah melalui permohonan Semakan Kehakiman mereka.
Dalam satu kenyataan media, PH Sabah berkata “memahami dan menghormati sepenuhnya keputusan yang diambil oleh SLS”.
“Pada 2022 PH Sabah juga telah mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah dengan memfailkan Saman Pemula menuntut 40 peratus hak perlembagaan Sabah untuk dihormati dan dilaksanakan.
“PH Sabah kini telah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah bertekad untuk memastikan perkara ini diselesaikan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan dan Jawatankuasa Teknikal (Jawatankuasa MA 63) masing-masing diketuai oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kedua.
“Walapun dengan pendekatan yang berbeza, namun ia mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk memastikan hak perlembagaan Sabah dalam MA63 dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Berkenaan spekulasi berkenaan dengan rakan gabungan politik PH Sabah dalam menghadapi pilihan raya negeri Sabah akan datang, katanya, mereka masih belum membincangkan sebarang persefahaman atau kemungkinan gabungan baharu yang akan dibentuk.
“Namun begitu, PH Sabah tetap kekal sebagai sebahagian daripada Kerajaan Negeri serta menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan mahu melihat kerajaan ini mencapai tempoh penuh.
“Semua pihak digesa memberi tumpuan kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini di bawah Kerajaan Madani,” jelasnya.
Dalam pada itu, PH Sabah berpendirian tegas bahawa Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) tidak wajar diperkenalkan dan dilaksanakan di Sabah.
“Setiap wakil rakyat PH Sabah menyokong pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar yang berniat untuk memberi kuasa autonomi kepada kerajaan Sabah untuk menguruskan hal ehwalnya.
“Kami mengalu-alukan sebarang peruntukan persekutuan yang diberikan kepada Sabah khususnya untuk pembangunan dan manfaat masyarakat luar bandar di Sabah.
“Kami juga percaya bahawa peruntukan sebegini sebaiknya diuruskan oleh Kerajaan Sabah untuk memberi makna dan penghormatan terhadap undang-undang negeri Sabah,” tambahnya.
Baru-baru ini Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah meluluskan pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah yang kini memberi kuasa dan autonomi kepada Kerajaan Sabah untuk melantik dan mengurus pentadbiran jawatankuasa kampung seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sabah.