Pameran Sains dan Teknologi China Dijangka Diadakan Pada Hujung Tahun Ini

Pameran Sains dan Teknologi China Dijangka Diadakan Pada Hujung Tahun Ini

0
SHARE
Arifin
Arifin (kanan), Huang (tengah) dan Zainudin (kiri) berbincang semasa lawatan rasmi Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu ke KSTI ( Sumber Foto: Ihsan KSTI )

KOTA KINABALU, SABAH – Negara China akan mengadakan pameran sains dan teknologi yang menampilkan 50 barangan termasuk ‘dome planetarium’ berskala besar menjelang akhir tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata Perpustakaan Negeri Sabah di Tanjung Aru telah dicadangkan untuk menempatkan acara itu yang berkemungkinan besar akan dijadikan jerayawara ke Pantai Timur Sabah.

“Memorandum persefahaman tiga tahun akan ditandatangani dengan China melalui Konsul Jeneralnya di Kota Kinabalu Dr Huang Shifang.

“Saya percaya kita boleh manfaatkan daripada negara maju seperti China khususnya bagi para pelajar,” katanya.

Huang dalam lawatan kerja ke KSTI di sini pada Isnin mendedahkan tema pameran tersebut sebagai “Pengalaman Sains, Inspirasi Inovasi”.

“Semuanya bergantung pada masa penghantaran bahan pameran dari China. Kami akan cuba sedaya upaya untuk mempercepatkan proses itu,” katanya ketika ditanya mengenai tarikh pelancaran.

Mengulas lanjut, Setiausaha Tetap KSTI Datuk Zainudin Aman berkata planetarium yang akan memaparkan alam semesta itu akan berketinggian kira-kira enam meter.

“Oleh itu kawasan lapang di dalam Perpustakaan Tanjung Aru adalah tepat.

“Tempoh pameran semuanya terpulang kepada kerajaan negeri tetapi kita boleh mengadakannya sehingga tiga tahun. Kita boleh jangka ia akan diadakan sebelum akhir tahun ini,” katanya.