KOTA KINABALU, SABAH – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah akan menggerakkan semua PAS Kawasan dan Cawangan untuk membantu kerajaan menyampaikan maklumat vaksin kepada seluruh masyarakat.
Setiausaha PAS Sabah Dr. Aliakbar Gulasan berkata kempen tersebut dinamakan ‘Jom Kita Vaksin’.
“Semua PAS Kawasan diminta berbincang dengan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bagi melihat mekanisme dan prosedur operasi standard (SOP) yang mesti dipatuhi…
“Langkah ini diambil berikutan kadar pendaftaran pengambilan vaksin COVID-19 di Sabah adalah yang paling rendah di Malaysia, iaitu kurang 20 peratus,” kata beliau.
Aliakbar mahukan PAS Sabah mencuba sebaik mungkin membantu pihak kerajaan bagi mencapai sasaran lebih baik.
“Usaha ini mesti disokong dan didukung oleh semua lapisan masyarakat sekali gus untuk mencapai sasaran imuniti kelompok…
“PAS Sabah juga menyeru semua pihak khususnya ketua-ketua masyarakat membantu kerajaan untuk menyebarkan kempen pengambilan vaksin ini demi kebaikan semua,” tambah beliau.