PAS Sabah Puji Hakim Besar Sabah Dan Sarawak Berpihak Kepada Enakmen Jenayah...

PAS Sabah Puji Hakim Besar Sabah Dan Sarawak Berpihak Kepada Enakmen Jenayah Syariah Kelantan

0
SHARE
Sahar
Setiausaha Perhubungan PAS Sabah, Sahar Abdul Majid ( Sumber Foto: Ihsan PAS Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Setiausaha Perhubungan PAS Sabah, Sahar Abdul Majid, menyifatkan tarikh 9 Februari sebagai sejarah hitam buat umat Islam.

Ini ujarnya apabila Mahkamah Persekutuan telah berpihak kepada seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman dalam petisyennya bagi membatalkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Dalam Penghakiman 9 Panel Hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat itu, 16 daripada 18 Enakmen telah diputuskan batal dan tidak sah dengan keputusan 8-1 penghakiman.

“Umat Islam seharusnya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Tan Sri Abdul Rahman Sebli, Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang konsisten dengan hujah dan berpihak kepada Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan.

“Beliau adalah hero umat Islam, satu-satunya hakim yang berpendirian tegas dengan hujah bagi mempertahankan kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan ini,” ujarnya.

Antara penghujahannya, Abdul Rahman menyatakan bahawa Nik Elin dan anaknya tiada hak di sisi undang-undang (Locus Standi) untuk membawa petisyen ini ke mahkamah berikutan dia bukan orang yang terlibat dengan sebarang jenayah yang disabitkan keatasnya hukuman yang melibatkan Enakmen ini.

Abdul Rahman menyebutkan bahawa mereka juga tidak menunjukkan senarai peruntukan Jenayah Syariah Kelantan sudah melanggar hak berperlembagaan namun hanya berkenaan perundangan dan perlembagaan peruntukan negeri.

Bahkan katanya, pempetisyen turut gagal menyatakan alasan atau menunjukkan kesan mereka terjejas berikutan peruntukan itu.

Katanya, faktor kebimbangan saja tidak memadai untuk mengemukakan cabaran ini di mahkamah.

“Peguam Besar itu berhujah bahawa semua orang memiliki rasa takut dalam hidup, tetapi jika membabitkan cabaran kepada undang-undang negeri, ia perlu menyatakan asas pencabulan yang berlaku terhadap hak individu.

“Sebelum ini dilaporkan, Mahkamah Syariah Selangor pada 21 Ogos 2019 telah mendakwa seorang pesalah Liwat bernama Iki Putra di bawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah Selangor 1995.

“Namun, pihaknya mencabar keputusan itu di Mahkamah Persekutuan untuk semakan semula dan akhirnya pada 25 Februari 2021 mahkamah memutuskan kes dan hukuman keatasnya adalah tidak sah dan terbatal,” katanya.

Beliau menjelaskan, susulan daripada kes Nik Elin ini juga, akan membuka pintu adanya cabaran besar-besaran terhadap Enakmen Jenayah Syariah di negeri-negeri lain pula, sebagaimana kes Indira Ghandi yang telah membawa kepada saman pemula difailkan terhadap lapan negeri untuk permohonan deklarasi bahawa enakmen-enakmen negeri yang disangkal tidak sah kerana didakwa melanggar perlembagaan.

“Inilah ruang dan pintu yang digunapakai oleh pempetisyen Nik Elin dan anaknya. Ruang ini harus ditutup rapat agar tiada lagi mana-mana pihak yang mengambil kesempatan untuk menyekat pelaksanaan Undang-undang Syariah Islam di mana-mana negeri,” tegas Sahar.

Sahar berkata, jalan terbaik adalah pindaan perlembagaan dengan kadar segera agar tidak lagi berlaku sebarang kekeliruan mengenai tafsiran undang-undang dan hak menggubal Undang-Undang Syariah di peringkat negeri selepas ini.

Beliau menegaskan, ini terletak dibahu semua Ahli Parlimen Islam sama ada pada pihak kerajaan mahupun pembangkang untuk menyokong penuh sebarang pindaan yang akan dibuat dalam parlimen untuk memperkukuhkan kedudukan Mahkamah Syariah dan pelaksanaan syariat Islam ini.

“Mempertahankan syariah Islam bermakna turut menjunjung tinggi al-Quran dan Sunah termasuk memberi pengiktirafan dan kemuliaan kepada Sultan, Raja-Raja Melayu dan Tuan Yang Dipertua yang menjadi ketua agama Islam di negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata, perlu difahami bahawa pelaksanaan syariah dan undang-undang Islam ini hanya terpakai kepada umat Islam sahaja dan tidak terpakai kepada penganut bukan Islam.