KOTA KINABALU: Parti Bumi Kenyalang (PBK) menggesa pihak polis menyediakan perlindungan peribadi kepada pakar patologi Hospital Queen Elizabeth, Dr. Jessie Hiu, susulan laporan ancaman keselamatan terhadap beliau.
Pengerusi PBK Sabah, Datin Soh Kee Suat berkata, ancaman itu timbul selepas Dr. Jessie tampil dengan keterangan berani dan tanpa bias mengenai penemuan serta pandangannya berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir baru-baru ini.
“Ancaman terhadap keselamatan Dr. Jessie Hiu jelas menunjukkan masyarakat kita sedang sakit, dengan adanya individu yang berani mengambil undang-undang di tangan sendiri.
“Kami mendesak polis menyiasat kes ini dengan cepat dan menyeluruh supaya pelaku dapat dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, keyakinan masyarakat terhadap siasatan polis di Sabah kini berada pada tahap rendah dan perlu diperbaiki segera bagi mengembalikan kepercayaan awam terhadap tugas kepolisian.
Selain Dr. Jessie, PBK turut meminta perlindungan keselamatan diberikan kepada Koroner yang mengendalikan inkues kes Zara Qairina Mahathir.
“Keadilan untuk Zara Qairina Mahathir penting kerana ia akan membantu pihak berkuasa menentukan bagaimana kematian ini boleh berlaku, sekali gus menambah baik aspek keselamatan di sekolah demi pelajar dan golongan muda yang tinggal berjauhan daripada keluarga,” katanya.