KOTA KINABALU, SABAH – Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyatakan kebimbangN pelantikan Kabinet Kerajaan Perpaduan semalam memberi gambaran awal kebajikan dan pembangunan Sabah bakal terpinggir.
Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Kurup berkata ini berikutan hanya dua orang Ahli Parlimen dari negeri ini yang dilantik sebagai menteri penuh.
“Sabah hanya diberikan dua menteri yang tidak setara jika dibandingkan dengan menteri di Semenanjung (21 menteri dan seorang Timbalan Perdana Menteri) mahupun jika dibandingkan dengan Wilayah Sarawak (seorang Timbalan Perdana Menteri dan lima Menteri).
“Untuk rekod, daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, 24 Ahli Parlimen telah menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.
“Daripada jumlah tersebut Barisan Nasional Sabah (tujuh Shli Parlimen) merupakan penyumbang terbesar dalam komposisi tersebut.
“Malang sekali, Sabah hanya diberikan dua jawatan Kabinet dan tiada daripadanya adalah BN Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sementara itu, Arthur juga berkata Sabah memerlukan lebih banyak representasi di dalam kabinet dan bagi membantu lebih banyak pembangunan.
“Pembatalan begitu banyak projek pembangunan infra rakyat terutamanya Projek Pan Borneo Sabah ketika dipimpin Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018 masih segar dalam ingatan rakyat Sabah…
“Begitu juga langkah penjimatan yang diambil dengan mengurangkan atau menghapuskan bantuan yang pada asasnya bertujuan untuk membantu rakyat.
“Justeru, kami berharap agar Kerajaan Perpaduan tidak mengulangi kesilapan yang lalu. Sabah memerlukan lebih banyak pembangunan, lebih banyak bantuan untuk rakyat dan lebih ramai wakil di dalam kerajaan.
“Ini agar kami di Sabah boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi bersama Semenanjung Malaysia,” katanya.