KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Inanam menegaskan bahawa kekuatan dan perpaduan jentera parti di kawasan itu tidak terjejas meskipun Ahli Majlis Tertinggi PBS, Datuk William Majimbun, yang juga bekas Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.18 Inanam, mengumumkan penyertaannya ke Parti Warisan.
Menurut kenyataan rasmi Ketua Bahagian PBS Inanam, Fredolin Totin Bangon, keputusan tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat bahagian yang diadakan semalam (21 Oktober), dan semua kepimpinan serta ahli sepakat untuk terus bersatu serta menumpukan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17 (PRN17).
“Keputusan Datuk William sama sekali tidak melemahkan semangat ahli dan penyokong PBS di Inanam. Sebaliknya, ia membangkitkan lagi tekad kami untuk memperkukuh perjuangan parti berteraskan keikhlasan, kestabilan, dan kepentingan rakyat Sabah,” katanya.
Fredolin turut menegaskan bahawa PBS Inanam kekal komited menyokong penuh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam memastikan kemenangan gabungan tersebut pada PRN17 demi kestabilan dan masa depan politik negeri.
“PBS Inanam akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan rakyat terus yakin dengan perjuangan GRS yang berasaskan pembangunan seimbang dan perpaduan rakyat Sabah,” tambah beliau.