PBS Kekal Pendirian Tolak Kerjasama Parti Warisan Pada PRU15

PBS Kekal Pendirian Tolak Kerjasama Parti Warisan Pada PRU15

0
SHARE
Datuk Joniston Bangkuai...

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai berkata partinya kekal dengan pendirian menolak lamaran Parti Warisan (Warisan) untuk bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, pada masa ini PBS komited untuk terus berjuang bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata, PBS tetap setia dengan GRS maka, sebarang lamaran untuk membentuk kerjasama baharu tidak akan dilayan.

“Kesetiaan kita adalah kepada GRS kerana ini yang terbaik untuk kita maka, sokongan yang terkuat harus diberikan kepada gabungan ini…

“Sebagai parti tempatan yang sudah berusia 37 tahun, PBS akan terus menyokong gabungan yang selari dengan perjuangan parti ini,” katanya semasa pelancaran program jelajah GRS di Parlimen Keningau kelmarin.

Menurut beliau, apabila GRS muncul sebagai wadah yang lebih besar, semua parti komponen memiliki kekuatan tersendiri. Maka, apabila semua parti bergabung, bayangkan kekuatan yang mampu diwujudkan.

Dengan kekuatan yang ada, musuh akan menjadi takut apabila berhadapan dengan GRS.

“Justeru, bermula di Keningau inilah kita tunjukkan solidariti kita dan saya yakin PRU akan datang, kita akan mampu mencapai kemenangan besar.

“Jika dilihat kepimpinan (GRS) juga cukup mendengar dan mengutamakan rakyat. Maka, dengan gabungan kepimpinan yang cukup berpengalaman, kita mampu tampil sebagai sebuah gabungan yang kuat,” katanya.