KUALA LUMPUR: Peguam kepada ahli perniagaan Datuk Albert Tei, Mahajoth Singh, mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak tidak konsisten dan menimbulkan kebimbangan terhadap proses siasatan serta hak untuk mendapatkan khidmat peguam.
Beliau berkata, semasa sesi siasatan selama enam jam semalam, beliau hampir diarah keluar daripada bilik rakaman kenyataan oleh seorang pegawai SPRM tanpa alasan munasabah.
“Saya hanya meminta penjelasan sama ada anak guam saya disiasat sebagai saksi, suspek atau pemberi maklumat.
“Sebaliknya, saya diugut untuk dihalau keluar. Ini sangat tidak wajar dan bercanggah dengan prinsip keadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahajoth turut menegaskan tindakan SPRM yang membenarkan kehadirannya pada sesi sebelum ini tetapi mengugut penyingkiran kali ini menunjukkan ketidakselarasan dalam tatacara agensi tersebut.
Beliau mendakwa SPRM tidak membangkitkan isu penting berkaitan dakwaan seorang pegawai kanan agensi itu yang pernah menasihati anak guamnya supaya tidak meneruskan aduan berhubung skandal perlombongan di Sabah.
“Anak guam saya tampil secara sukarela menyerahkan laporan setebal 300 muka surat mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri dengan rasuah, namun hingga kini tiada tindakan tegas diambil,” katanya.
Menurut Mahajoth, kelewatan dan kegagalan SPRM bertindak terhadap mereka yang mempunyai kaitan politik menunjukkan kelemahan serius dalam pelaksanaan undang-undang.
“SPRM sepatutnya memerangi rasuah, bukan menutup mata terhadapnya. Badan ini mesti bertindak tanpa takut atau pilih kasih,” tegasnya.






