BAITULMAQDIS – Israel memberi amaran kepada pejuang Palestin supaya tidak melancarkan serangan bagi membalas dendam di atas tindakan rejim itu meletupkan terowong dari Semenanjung Gaza sehingga ke wilayah Yahudi berkenaan bulan lalu.
AFP melaporkan bahawa ketua unit yang bertanggungjawab memantau aktiviti di wilayah Palestin (COGAT) Kementerian Pertahanan , Mejar Jeneral Yoav Mordechai, membuat kenyataan itu dalam video berbahasa Arab yang diedarkan lewat semalam.
Merujuk kepada operasi Israel pada 30 Oktober lalu, beliau berkata rejim itu memusnahkan terowong dalam wilayah merdeka, yang menyebabkan 12 pejuang Hamas dan Jihad Islam terkorban.
“Kami sedar rancangan pergerakan Jihad Islam terhadap Israel. Mereka bermain dengan api yang mengorbankan penduduk Gaza, usaha damai Palestin dan kestabilan seluruh rantau dalam risiko.
“Saya mahu jelaskan: Sebarang serangan oleh Jihad Islam akan dibalas keras oleh Israel. Ia bukan sahaja kepada Jihad Islam tetapi juga kepada Hamas, yang mentadbir Semenanjung Gaza,” katanya.
Mordechai juga memberi penekanan kepada kepemimpinan Jihad Islam yang berpangkalan di Damsyik, menyebut nama Ramadan Shalah dan Ziad Nakhaleh.
Beliau menggesa kedua-duanya mengawal keadaan kerana mereka akan dipersalahkan bagi serangan serangan.
Israel berkata, ia masih menyimpan jenazah lima pejuang yang diambil dari terowong dan akan cuba menggunakan ia sebagai barang tawaran mendapatkan semula mayat dua tentera Israel yang dipercayai disimpan Hamas.