Pemandu Positif Ganja Dipukul Sekumpulan Warga Pakistan

Pemandu Positif Ganja Dipukul Sekumpulan Warga Pakistan

0
SHARE

TELUK INTAN: Sekumpulan lelaki warga Pakistan telah memukul seorang pemandu positif ganja yang telah menyebabkan kematian tiga warga Pakistan di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan-Bidor pada pagi 1 Syawal, Rabu (10 April).

Kejadian itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri ketika dihubungi pada Khamis.

Katanya, kejadian itu melibatkan pemandu kereta dan empat lelaki dipercayai rakan senegara mangsa dan kejadian tersebut juga berlaku sejurus selepas kemalangan namun reda sebaik kehadiran polis di lokasi, lapor Sinar Harian.

“Pemandu kereta terbabit telah pun membuat laporan polis mengenai kejadian itu sekitar jam 1 petang tadi dan tiada kecederaan serius, hanya luka di bahagian kepala,” katanya.

Tambah Ahmad Adnan, pihaknya telah mengesan kejadian itu menerusi satu rakaman video yang tular di media sosial.

Katanya, siasatan awal mendapati, empat individu yang terlibat dalam kejadian pukul itu merupakan rakan mangsa yang terselamat dalam kemalangan terbabit.

“Berpandukan video itu, kita telah pun kenal pasti mereka yang terlibat dan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” jelasnya.

Dalam video yang tular berdurasi 19 saat itu, sekumpulan lelaki dalam keadaan marah bertindak memukul seorang lelaki dalam parit.

Sebelum ini, media melaporkan tiga lelaki warga Pakistan maut manakala tiga lagi parah selepas dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga semasa berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Pemandu kereta berkenaan telah pun direman selama empat hari sehingga Ahad ini dan siasatan terhadapnya dibuat di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.