KOTA KINABALU – Pembangkang sengaja cuba memberi gambaran buruk tentang Sabah Air Aviation Sdn Bhd (Sabah Air) dengan membayangkan aktiviti meragukan membabitkan syarikat penerbangan itu.
Memetik kenyataan Bernama, Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Ramlee Marahaban berkata tindakan pembangkang itu semata-mata untuk meraih kepentingan politik.
Beliau berkata demikian selepas Junz Wong (Warisan-Likas) menyentuh tentang Sabah Air semasa Wong membahaskan Bajet Sabah 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
“Yang Berhormat hantar orang Yang Berhormat ke Sabah Air dengan menyamar untuk menyewa sebuah jet peribadi.
“Jika Yang Berhormat serius, bayarlah wang pendahuluan. Jangan pergi ke sana mengintip-intip dengan niat tidak baik,” katanya.
Ramlee berkata pembangkang malah menyebarkan khabar angin kononnya seorang pegawai kanan Sabah memiliki sebuah jet peribadi padahal ia sebenarnya kepunyaan Sabah Air selepas syarikat itu mengambil alih Innosky Ltd, sebuah syarikat berpusat di United Kingdom berpangkalan di Labuan yang memiliki jet berkenaan.
“Jet itu didaftarkan di bawah Innosky Ltd dan dimiliki 100 peratus oleh Sabah Air ketika syarikat itu mengambil alih Innosky pada Disember 2015.
“Pemegang saham utama Sabah Air adalah Kementerian Kewangan Sabah, manakala baki saham itu dimiliki Sabah Energy Corporation,” jelas beliau.
Bagaimanapun, pada 2013, Sabah Energy menjual saham mereka kepada pelabur asing dengan harga yang sangat baik, lebih tinggi daripada nilai buku syarikat itu.
“Bagaimanapun pelabur (asing) itu kehilangan 85 peratus daripada pelaburan mereka selepas dua tahun.
“Akaun diaudit oleh Ernst and Young menunjukkan Sabah Energy membuat keputusan yang tepat pada ketika ini,” kata Ramlee.