Pembenihan Awan Atasi Bekalan Air

Pembenihan Awan Atasi Bekalan Air

0
SHARE
Shahelmey
Shahelmey ketika bercakap kepada media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PAPAR, SABAH – Kerajaan bersetuju untuk melakukan pembenihan awan dalam masa terdekat bagi mengatasi masalah bekalan air di beberapa daerah di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya berkata keputusan itu telah diperhalusi dalam Mesyuarat Kabinet Negeri pada Rabu dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat di kawasan hulu.

“Semalam dalam Mesyuarat Kabinet Negeri, YAB Ketua Menteri bersetuju utk kita melakukan pembenihan awan untuk mencetuskan hujan di kawasan hulu supaya air dari sungai akan bertambah dan seterusnya boleh membekalkan air kepada loji-loji rawatan air yang terkesan dan kawasan yang menggunakan bekalan air graviti.

“Pembenihan awan akan dilaksanakan dalam masa terdekat, pihak pejabat daerah bersama Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri dan jawatankuasanya bersama NADMA akan melihat akan kebolehlaksanaan pembenihan awan itu.

“Memandangkan kemarau berpanjangan, kita menjangkakan dua bulan lagi kemarau ini akan berterusan tetapi kita doakanlah sebab semalam sudah ada hujan turun.

“Itu adalah faktor cuaca, dari segi teknikal kita akan cari jalan penyelesaian untuk terus membekalkan bekalan air kepada rakyat,” ujar beliau.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya ketika ditemui media di Loji Rawatan Air EWSS Limbahau dekat sini, pada Khamis, turut memohon maaf atas kekeliruan pada notis gangguan bekalan air ekoran kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air Moyog selama 10 hari yang dikeluarkan oleh Jabatan Air Negeri Sabah, pada Rabu.

Menurutnya, terdapat kekeliruan dalam notis tersebut sehingga mengakibatkan kemarahan rakyat dan pelbagai kecaman di media sosial.

“Saya telah berbincang dengan Pengarah air pagi tadi dan saya dapati notis tersebut kurang jelas, maksud yang disampaikan melalui notis tersebut mengelirukan dan menimbulkan kemarahan rakyat, netizen dan mainstream media.

“Saya semak dengan CEO Jetama pagi tadi bahawa kerja-kerja penyelenggaraan itu mesti dibuat sekiranya tidak dibuat, ianya mungkin akan menyebabkan gangguan yang lebih kritikal pada masa akan datang.

“Disebabkan kerja penyelenggaraan tersebut pengurangan air di Loji Air Moyog hanya berkurang sebanyak 2 MLD daripada 189 MLD turun kepada 187 MLD.

“Namun demikian, JETAMA komited untuk top up kehilangan 2 MLD daripada Loji Moyog diganti dengan Loji Kasigui yang mana Kasigui sekarang beroperasi pada 53 MLD boleh top up another 2 MLD untuk menjadikannya 55 MLD.

“Jadi, dari segi aritmetik gangguan garis kerja penyelenggaran sebanyak 2 MLD Loji Moyog akan diganti oleh Loji Kasigui.

“Jadi, saya mohon maaf dan meminta Jabatan Air Negeri Sabah agar menarik balik notis yang agak mengelirukan dan gangguan 10 hari itu membuatkan rakyat panik, ia adalah satu misintepretasi,” jelasnya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin, ADUN Kawang Datuk Seri Dr. Ghulamhaidar @ Yusuf Khan Bahadar, ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah Datuk Ridhwan Roger Linus dan Pengarah JANS Suhaimi Asbullah. — JABATAN PENERANGAN SABAH