KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan pemergian Pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), mendiang Tan Sri Joseph Kurup sebagai satu kehilangan besar untuk Sabah dan Malaysia amnya.
Menurut beliau, pemergian mendiang juga merupakan kehilangan yang besar kepadanya secara peribadi.
“Saya mengucapkan takziah kepada semua keluarga mendiang. Mendiang merupakan seorang yang banyak menyumbang kepada pembangunan negeri Sabah dan juga Malaysia.
“Pengalaman saya bersama mendiang dalam kabinet, mendiang seorang yang lemah-lembut, fokus pada kerja dan khidmatnya sebagai menteri.
“Saya secara peribadi kehilangan kawan yang baik dan seorang pemimpin yang baik. Jadi saya mengharapkan dan mendoakan segala kebaikan untuk mendiang serta keluarga,” katanya ketika ditemui media selepas hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang bertempat di Wisma Fook Lu Siew, di sini, hari ini.
Ketibaan beliau disambut oleh anak mendiang, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Dalam pada itu, Fadillah turut berkata beliau mempunyai banyak kenangan manis bersama mendiang dalam arena politik termasuk perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Media sebelum ini melaporkan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 6.22 petang Rabu.
Mendiang yang juga merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bersara daripada politik pada Januari tahun lalu selepas memegang jawatan Presiden PBRS sejak penubuhan parti terbabit.