Pemimpin Utama Taliban Masih Menjadi Teka-Teki

Pemimpin Utama Taliban Masih Menjadi Teka-Teki

0
SHARE
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid (tengah), pada sidang media pertama selepas menawan Afghanistan minggu lalu...(Sumber Foto: AFP)

KABUL, AFGHANISTAN – Perbincangan bersama untuk membentuk kerajaan inklusif baru di Afghanistan akan diadakan selepas kelihatan ketibaan Pegawai kanan Taliban di ibu kota berkenaan.

Walaupun pernah memerintah dari tahun 1996 hingga 2001, kepemimpinan Taliban masih tidak diketahui dan menjadi teka-teka hingga kini kerana dirahsiakan.

Namun, difahamkan sudah ada senarai pemimpin kanan pemerintahan Taliban yang akan memainkan peranan utama dalam pentadbiran Afghanistan.

Antaranya, Haibatullah Akhundzada, yang dilantik sebagai pemimpin Taliban dalam peralihan kuasa yang pantas selepas serangan dron Amerika Syarikat (AS) membunuh penyandang jawatan itu, Mullah Mansour Akhtar, pada 2016.

Memetik laporan AFP, Akhundzada memperoleh janji setia dari ketua Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri selepas dilantik menjadi pemimpin.

Akhundzada ditugaskan untuk menghadapi tentangan besar menyatukan gerakan militan yang mengalami keretakan dalam perebutan kuasa selepas pembunuhan Akhtar dan kematian Mullah Omar, yang dirahsiakan selama bertahun-tahun.

Pemimpin lain ialah Mullah Abdul Ghani Baradar, dibesarkan di Kandahar iaitu tempat kelahiran gerakan Taliban.

Seperti kebanyakan orang Afghanistan, kehidupan Baradar berubah selepas Soviet (Russia) menyerang negara itu pada akhir 1970-an, yang mendorongnya menyertai perjuangan menentang pencerobohan itu.

Pengasas bersama Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar…

Selepas rejim Taliban digulingkan pada 2001 oleh pasukan tentera AS, Baradar dipercayai memasuki sekumpulan kecil pemberontak yang mendampingi pemimpin sementara, Hamid Karzai, dengan kemungkinan bekerjasama dengan kerajaan baru.

Ditangkap di Pakistan pada tahun 2010, Baradar ditahan sehingga tekanan dari AS menyaksikannya dibebaskan pada 2018 dan berpindah ke Qatar.

Di sini beliau dilantik sebagai ketua pejabat politik Taliban dan mengawasi proses menandatangani perjanjian pengunduran pasukan AS dari Afghanistan.

Sementara itu, anak komandan terkenal ketika era jihad anti-Soviet, Sirajuddin Haqqani, bergelar sebagai timbalan pemimpin Taliban dan ketua rangkaian Haqqani yang kuat.

Jaringan Haqqani pada suatu masa dulu adalah kumpulan bersenjata yang dianggap paling berbahaya di Afghanistan.

Kumpulan terbabit terkenal kerana penggunaan pengebom berani mati dan disyaki mendalangi beberapa serangan berprofil tinggi di Kabul sejak beberapa tahun lalu.

Haqqani, yang beroperasi di sebalik pergunungan di timur Afghanistan, dikenali kerana semangat berdikari, kepintaran berperang dan rundingan perniagaan serta banyak mempengaruhi keputusan majlis kepemimpinan Taliban.

Selain itu, anak lelaki pengasas Taliban, Mullah Omar, Mullah Yaqoob, mengetuai suruhanjaya ketenteraan kumpulan itu yang amat berkuasa, mengawasi rangkaian besar komandan yang ditugaskan untuk melakukan pemberontakan.

Bagaimanapun, spekulasi masih ada mengenai peranan sebenar Yaqoob dengan beberapa penganalisis berpendapat bahawa pelantikannya pada tahun 2020 hanya sebagai menghormati peranan bapanya.