KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyifatkan langkah penangguhan bayaran pinjaman pendidikan itu yang diumumkan kerajaan hari ini, sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.
Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, berkata dalam suasana ekonomi sekarang, setiap ringgit yang boleh diberi atau dikekalkan dalam poket rakyat adalah amat bermakna.
Memetik laporan BH Online, beliau berkata dengan wang yang ada di tangan itu, rakyat boleh berbelanja sekali gus meningkatkan perbelanjaan domestik yang amat diperlukan untuk menjana kembali ekonomi negara.
“Apa sahaja usaha untuk membantu, akan kita jalankan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meluluskan cadangan ini…
“Keprihatinan Tan Sri Muhyiddin sudah pasti akan dihargai oleh semua,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya, hari ini.
Pagi tadi, kerajaan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan lagi kepada peminjam yang layak.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata kerajaan prihatin dan menyedari terdapat peminjam PTPTN yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19 dan belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.
Katanya, peminjam PTPTN yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai 5 Januari hingga 31 Mac ini.
“Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula daripada bulan permohonan perlanjutan diluluskan…
“Butiran berkenaan pelaksanaan perlanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan diperincikan oleh PTPTN.
“Diharap pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung peminjam PTPTN,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac hingga 31 Disember kepada semua peminjam PTPTN berikutan pandemik.
Sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi Careline PTPTN di talian 03-21933000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang.