KOTA KINABALU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengaktifkan Operasi CARILAMAT bagi mengesan dan mencari seorang nelayan yang dikhuatiri telah jatuh laut di perairan Pulau Manukan awal petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata Pusat Operasi Maritim Malaysia Sabah telah betindak sejurus menerima panggilan kecemasan daripada pemilik bot terbabit.
“Menurut maklumat yang diberikan, tekong bot menyedari kehilangan mangsa La Edi, 24, warganegara Indonesia sekitar jam sembilan pagi semasa bot berada lima batu nautika dari Pulau Manukan.
“Ketika hilang, mangsa berkemungkinan tidak berbaju dan berseluar pendek warna hitam,” katanya.
Rosli berkata operasi CARILAMAT telah diaktifkan pada jam lebih kurang 3 petang manakala lain-lain agensi sahabat turut dimaklumkan bagi membantu pencarian.
“Bot peronda Maritim Malaysia, Bot Pengawal 38 telah diatur gerak ke lokasi bagi melaksanakan pencarian awal.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa ditangguhkan pada 6.30 petang Isnin dan akan disambung jam tujuh pagi hari ini (Selasa),” katanya.
Tambahnya, Maritim Malaysia memohon kerjasama daripada komuniti maritim sekiranya menemui sebarang petunjuk atau maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi dan melaporkan penemuan atau petunjuk kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah 088-387774 atau 999 (MERS).