Penetapan Harga Lantai Belian Padi Tingkat Pendapatan Pesawah di Sabah, Sarawak

Penetapan Harga Lantai Belian Padi Tingkat Pendapatan Pesawah di Sabah, Sarawak

0
SHARE
Arthur ketika berucap pada Majlis Amanat 2024 bersama Agensi KPKM Sabah

KOTA KINABALU: Penetapan harga lantai belian padi kepada RM1,300 setiap matrik di Sabah dan Sarawak yang kuat kuasa bermula hari ini (15 Feb) dijangka akan meningkatkan pendapatan para pesawah di kedua negeri ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata kerajaan persekutuan telah bersetuju untuk menyelaraskan harga lantai belian padi di kedua-dua negeri daripada RM900 kepada RM1300 agar selaras dengan harga lantai belian padi di Semenanjung.

Jelasnya lagi, berdasarkan unjuran Bahagian Pembangunan Industri Padi, KPKM penetapan harga lantai belian padi baharu akan meningkatkan pendapatan kasar pesawah di Sabah kepada 50 peratus setahun daripada RM6,681 setahun/hektar kepada RM10,375 setahun/hektar.

“Berdasarkan data Lembaga Pertubuhan Peladang, dianggarkan seramai 17,298 pesawah padi (bukan padi huma) akan mendapat manfaat peningkatan pendapatan SEIRING dengan harga lantai belian padi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menyampaikan Amanat Tahun Baru 2024 kepada agensi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Sabah yang turut disertai Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri (MAFFI) serta agensi di bawahnya.

Beliau pada masa sama turut menyatakan langkah menyeragamkan harga minimum tempoh di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung mampu menyokong industri padi dan beras di Sarawak dan Sabah supaya terus kekal mampan dan berdaya saing selaras dengan hasrat KPKM untuk meningkatkan pengeluaran beras negara.

Selain harga lantai belian padi, Kerajaan juga menyediakan beberapa input insentif bagi membantu mengurangkan pengeluaran padi yang ditanggung oleh para pesawah. Insentif tersebut ialah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP), Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB) dan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP).

Penetapan harga lantai belian padi hanya melibatkan beras putih sahaja dan tidak termasuk beras istimewa atau tradisional yang dikeluarkan di Sabah dan Sarawak.

Terdahulu ketika menyampaikan amanat tahun baru, Arthur berkongsi empat fokus utama KPKM untuk tahun 2024 iaitu industri padi, industri ayam dan telur ayam, industri bawang serta industri nanas bagi memastikan sekuriti makanan negara berada di tahap terbaik.

Menurutnya lagi mulai tahun 2024 sehingga tahun 2030, KPKM akan turut melaksanakan pelaksanaan dan pembudayaan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) yang menyeluruh ke atas semua fokus hala tuju yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, Arthur turut menyatakan harapan agar kerjasama KPKM dan MAFFI Sabah akan dapat diperkukuhkan antaranya untuk membangunkan tanah-tanah terbiar di Sabah dengan aktiviti pertanian agromakanan. Beliau percaya kerjasama erat ini akan dapat melonjakkan Sabah sebagai hub pengeluaran agromakanan Negara.