ANKARA, TURKI – Pengambilan suntikan vaksin COVID-19 tidak akan membatalkan puasa, demikian menurut satu kenyataan Badan Hal Ehwal Islam Turki semalam.
Pegawai Direktorat Hal Ehwal Agama Islam Turki (DIYANET), Idris Bozkurt memberitahu kepada agensi berita Anadolu perkara itu kerana masyarakat Islam bakal menyambut bulan Ramadhan tidak lama lagi dalam bulan ini.
Menurutnya, vaksin COVID-19 tidak mengandungi vitamin atau zat makanan berkhasiat.
“Oleh demikian, menyuntik vaksin ke dalam badan tidak membatalkan puasa,” katanya.
Bagaimanapun, Idris berkata, jika seseorang ingin berhati-hati, mereka boleh mendapatkan suntikan vaksin selepas berbuka puasa atau sebelum sahur.
Beliau turut menyarankan mereka yang membuat janji temu imunisasi pada bulan puasa untuk mengambil suntikan berkenaan.
“Imunisasi adalah langkah penting bagi melindungi kesihatan supaya kekal sihat dan mencegah penularan jangkitan. Oleh itu, kita harus diberi vaksin untuk mencegah penyakit…
“Kita mahu mengingatkan orang ramai yang ingin mendapatkan suntikan vaksin bahawa puasa bukanlah halangan untuk berbuat demikian,” katanya.
Idris juga meminta orang ramai supaya menjauhkan diri daripada tingkah laku yang mungkin membahayakan kesihatan masyarakat.
“Apa pun langkah perlindungan, kita harus mematuhinya,” katanya.
Turki yang berdepan peningkatan kes dan kematian akibat COVID-19, pada Isnin lalu mengumumkan perintah berkurung di kawasan berisiko tinggi, serta sekatan lain sebagai tambahan kepada langkah khas untuk bulan Ramadan akan datang.