MATUNGGONG: Penjagaan kesihatan warga emas perlu disesuaikan mengikut tahap keupayaan dan keadaan kesihatan individu, bukannya berdasarkan faktor usia semata-mata.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, setiap warga emas mempunyai keperluan berbeza, termasuk mereka yang masih mampu berdikari dan golongan yang memerlukan bantuan dalam kehidupan harian.
“Penjagaan perlu disesuaikan dengan keadaan setiap individu. Matlamatnya bukan sekadar memenuhi keperluan rawatan, tetapi juga membantu warga emas mengekalkan keupayaan, kebebasan dan maruah mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2026 di Dewan Terbuka Matunggong, pada Isnin.
Menurutnya, pendekatan itu selaras dengan konsep Penuaan Sihat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas 2023-2030 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, pelan berkenaan merangkumi saringan dan pemeriksaan kesihatan, rawatan, kaunseling, rujukan, perawatan di rumah serta pemulihan.
Julita turut menegaskan bahawa warga emas yang memerlukan bantuan perlu terus diberi peluang menyuarakan pandangan dan terlibat dalam keputusan berkaitan penjagaan diri mengikut kemampuan masing-masing.
“Keperluan mendapatkan bantuan tidak bermakna hak mereka untuk menyuarakan pandangan tentang penjagaan diri sendiri harus diketepikan,” katanya.






