Penjawat Awam Disaran Kuasai Pelbagai Kemahiran

Penjawat Awam Disaran Kuasai Pelbagai Kemahiran

0
SHARE
Arifin
Arifin menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat JHEAINS ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Penjawat awam disaran melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran bagi memberikan mutu perkhidmatan yang baik.

Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, tahap kompetensi dalam menyampaikan maklumat dan kecekapan melaksanakan tugasan adalah sangat diutamakan bagi mencapai matlamat serta aspirasi jabatan.

“Semua pegawai hendaklah melengkapkan diri dengan set kemahiran komunikasi, pengurusan, penyelesaian masalah dan membuat keputusan yang membolehkan kita berdaya saing.

“Kesinambungan kepimpinan perkhidmatan awam adalah terletak diatas pegawai yang berilmu, praktikal, berwawasan dan kreatif,” katanya semasa Majlis Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), pada Selasa.

Pada majlis tersebut seramai 32 orang pegawai menerima surat kenaikan pangkat pelbagai jawatan antaranya seorang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG48, 22 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Gred DG34 dan enam Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Gred DG32.

Manakala seorang pegawai dilantik ke jawatan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S32, seorang Penolong Pegawai Syariah LS32 dan seorang lagi Pembantu Hal Ehwal Islam Gred S22.

Di samping itu, Ariffin turut memaklumkan pegawai yang memiliki kemahiran, bakat, berprestasi tinggi dan mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang layak diberi pengiktirafan sewajarnya termasuklah pemerkasaan pembangunan diri dan peluang kenaikan pangkat laluan pantas (Fast-Track).

Hadir sama, Pengarah JHEAINS, Jumain Abdul Ghani, Timbalan Pengarah Pentadbiran JHEAINS, Ahmad Yusop, Timbalan Pengarah Pendidikan JHEAINS, Abd Rahman Talipuddin dan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Islam JHEAINS, Ag. Juri Awang Tahir. — JABATAN PENERANGAN SABAH