Pentadbiran Donald Trump Saman Facebook

Pentadbiran Donald Trump Saman Facebook

0
SHARE

SAN FRANCISCO – Pentadbiran Donald Trump menyaman Facebook, semalam, dengan menuduh syarikat terbabit mendiskriminasi pekerja warga Amerika Syarikat (AS) kerana cenderung kepada pemohon dalam kalangan imigran untuk mengisi ribuan jawatan bergaji tinggi.

Tindakan undang-undang itu membabitkan lebih 2,600 jawatan dengan purata gaji kira-kira AS$156,000 yang ditawarkan dari Januari 2018 hingga September 2019.

“Facebook didakwa terbabit dalam pelanggaran undang-undang secara sengaja dan meluas, dengan mengasingkan jawatan untuk pemegang visa sementara berbanding mempertimbang pekerja warga AS yang layak serta berminat,” kata Penolong Peguam Negara, Eric Dreiband.

Memetik laporan AFP, Dreiband daripada Bahagian Hak Sivil, Jabatan Keadilan AS, berkata demikian dalam satu kenyataan yang menggariskan dakwaan jabatan itu.

Jabatan itu mendakwa, syarikat gergasi Internet berkenaan menyimpan jawatan untuk pemohon memiliki visa ‘pekerja mahir’ H1-B atau visa kerja sementara yang lain.

Menurut saman yang difailkan itu lagi, Facebook dituduh ‘menyalurkan’ pekerjaan kepada pemegang visa dengan mengelak daripada mengiklankan perkara berkenaan dalam laman web kerjayanya.

Facebook turut didakwa hanya menerima permohonan dihantar secara fizikal bagi sesetengah jawatan, atau enggan mempertimbangkan langsung pekerja warga AS.

Syarikat berpangkalan di California itu merancang untuk terus bekerjasama dengan jabatan terbabit sejajar kes berkenaan.