KOTA BELUD: Seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun maut dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku di Jalan Tamparuli–Ranau, berhampiran simpang Kampung Kiau, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, ASP Ahmad Fathie Md Salleh berkata, kejadian kira-kira jam 2.05 petang itu melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 yang ditunggang mangsa dari arah Ranau menuju ke Kota Kinabalu.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika melalui jalan lurus menurun dan terbabas sebelum terjatuh.
“Akibat kejadian itu, mangsa disyaki digilis oleh sebuah kenderaan jenis van yang datang dari arah bertentangan dan tidak sempat mengelak,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kota Belud.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, Ahmad Fathie meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud.
“Pihak polis juga menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati semasa memandu, mematuhi undang-undang serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.






